Ucapan menghina perajurit amat menjijikkan

- Advertisement -

KOTA KINABALU: Kenyataan calon WARISAN kerusi DUN Segama, Datuk Mohamaddin Ketapi bahawa anggota tentera dan polis Malaysia berperang dengan ayam dan anjing ketika insiden Tanduo, Lahad Datu pada 2013, menjijikkan dan menghina 10 anggota keselamatan yang terkorban dalam insiden itu.

Bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman berkata jika bukan kerana komitmen pasukan keselamatan dalam memastikan negeri ini kekal menjadi milik Malaysia, gerak kempen Mohamaddin pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak mungkin berjalan dengan lancar, dan beliau pastinya tidak dapat bergerak bebas seperti sekarang.

- Advertisement -

“Jika beliau boleh berkata begitu secara terbuka, bayangkan apa yang dikatakannya dalam pertemuan tertutup bersama pengundi. Apa dinyatakannya itu pastinya sudah lama bersarang di pemikiran hingga beliau sanggup berucap dengan penuh angkuh di khalayak, malah memuat naik video ucapan itu di laman Facebook.

“Apa lebih menyedihkan ialah mendengar gelak tawa hadirin dalam rakaman video itu ketika mendengar ‘jenaka’ mengenai insiden Tanduo. Betapa mudahnya segelintir rakyat melupakan pengorbanan anggota keselamatan supaya mereka boleh meneruskan kehidupan,” katanya menerusi kenyataan di sini semalam.

Baru-baru ini, satu klip video tular di laman media sosial memaparkan Mohamaddin yang juga bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, mempersendakan pasukan keselamatan ketika berkempen sehingga mencetuskan kemarahan ramai pihak.
 
Musa berkata Mohamaddin perlu diajar dan mempelajari bahawa pasukan keselamatan berada di bawah Yang di-Pertuan Agong dan tidak ada kena mengena dengan parti politik, sama ada BN atau WARISAN.

Beliau berkata pemimpin sepatutnya berfikir sebelum mengatakan sesuatu bagi mengelak perpecahan dalam kalangan rakyat.

“Mohamaddin fikir beliau boleh menyatukan rakyat dengan memperlekehkan tentera dan polis. Betullah. Rakyat kini bersatu menentang beliau dan partinya,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -