Kunjungan Andansura selami rasa hati penduduk

INDERA MAHKOTA: ADUN Beserah, Andansura Rabu telah menunaikan tanggungjawabnya menyantuni dengan memberi perhatian kepada warga penduduk yang sedang menghadap ujian kehidupan.

Advertisement

Bersama beberapa pimpinan PAS setempat, beliau telah turun menziarahi penduduk dalam kalangan Al-Malak dengan berkunjung ke kediaman mereka di Taman Balok Makmur, di sini semalam.

Tindakan beliau itu selain sebagai mengambil maklum perkembangan mereka, juga melaksanakan tugasnya selaku pimpinan yang diberikan kepercayaan serta peranan Mukmin kepada saudaranya.

Antara dikunjungi beliau adalah bekas veteran tentera, Abdul Rahim Ibrahim dahulunya berpangkat sarjan yang mesra dipanggil Pak Andak di mana sedang mengalami masalah kesihatan disebabkan sakit kayap.

Perkenalan dan kemesraan sedia terjalin antara mereka menjadikan pertemuan tersebut mengundang suasana ceria dengan celoteh Pak Andak yang turut menyuarakan pesanan berharga dari pengalamannya selaku bekas perajurit.

Terdahulu, wakil rakyat yang prihatin ini dengan taklifannya juga sebagai Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang telah singgah di rumah Rozali Senik yang baharu kematian anakandanya kelmarin dahulu.

Andansura hadir bagi menyampaikan takziah dan menitipkan harapan untuk bersabar serta redha dengan ketentuan Allah menjemput anak Rozali yang mengidap sakit SLE itu kembali ke rahmatullah. – HARAKAHDAILY 23/9/2020