DPPM kutuk tindakan Anwar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengutuk dan mengecam sekerasnya drama politik terbaru Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang mencanangkan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah tumbang.

Ketua Penerangannya, Khairul Nadzir Helmi Azhar menegaskan bahawa sehingga hari ini, kerajaan masih wujud dan Kabinet masih berfungsi seperti biasa.

- Advertisement -

“Tindakan kebudak-budakan ini adalah sewajarnya dikutuk kerana menimbulkan keresahan rakyat, lebih-lebih lagi apabila negara sedang berhadapan dengan penularan wabak Covid-19.

“Kenyataan tersebut juga merisaukan para pelabur sehingga menyebabkan pasaran saham jatuh merudum akibat gimik yang ditimbulkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson dalam sidang medianya tengahari tadi mendakwa bahawa kerajaan PN telah jatuh kerana beliau memiliki majoriti sokongan daripada Ahli Parlimen.

Mengulas lanjut, Khairul Nadzir berkata, DPPM yakin rakyat Malaysia masih berdiri utuh dan menyokong kerajaan hari ini, yang telah melaksanakan tugas dengan cemerlang dalam memelihara kebajikan rakyat.

Jelasnya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini tumbang kerana gagal menjalankan tugas selaku kerajaan, malah terkongkong dalam politik murahan ‘siapa bakal PM’.

“Sudah pasti rakyat tidak mahu kembali ke zaman gelap yang ditinggalkan Pakatan Harapan dahulu.

“Sekiranya Anwar Ibrahim benar-benar mempunyai sokongan majoriti, kami mencabar Anwar Ibrahim untuk dedahkan secara terbuka siapa Ahli Parlimen yang menyokong beliau,” desaknya.

Tambahnya, setakat ini hampir semua parti komponen kerajaan (PN) menafikan sokongan mereka terhadap Anwar.

“Jangan terlalu terbawa-bawa penyakit kempunan sehingga berani berbohong dan mencetus kekecohan,” ujarnya.

Lantaran itu, DPPM ingin mengajak seluruh rakyat Malaysia bersatu hati menolak gimik politik dan drama Anwar yang tidak berkesudahan.

Katanya, laksanakanlah kebajikan untuk rakyat dan jalankan tanggungjawab sebagai pemimpin dengan baik kerana rakyat tidak mahu dihimpit kemelut politik sebegini. – HARAKAHDAILY 23/9/2020

- Advertisement -