Gimik kerajaan baru celaru PH di Sabah

- Advertisement -

KETIKA debar Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dua hari lagi, tiba-tiba muncul lagi impian berulang seorang pemimpin.

Sebelum ini pernah dinobat bakal Perdana Menteri. Pernah juga disebut calon Perdana Menteri atau Perdana Menteri menunggu.

- Advertisement -

Masih ingatkah anda. Pada 1 April 2008 Anwar Ibrahim mengumum nama-nama Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang akan melompat.

Beliau mengumum pembentukan Pakatan Rakyat. Lebih mengejutkan lagi ditetapkan 16 September 2008 sebagai tarikh membentuk kerajaan baru. Anwar mendakwa sudah cukup anggota parlimen untuk mengambil alih kerajaan Persekutuan.

“Saya mahu menemui Perdana Menteri bagi tujuan peralihan kerajaan secara lancar dan aman,” katanya seperti dilapor media. Itu peristiwa 12 tahun lepas.

Dan sekali lagi pada 29 Mei 2020 pemimpin sama mendakwa Pakatan Harapan (PH) mempunyai 129 ahli parlimen.

“Masih dalam proses dan belum dimuktamadkan. Mengenai 129 ahli parlimen atau 130, PKR tak bincang pasal hal-hal ini masih dalam proses, belum muktamad,” ujarnya.

Ini bermakna dua kali isu serupa diulang-ulang. Jangan ingat rakyat mudah lupa segala peristiwa itu. Kalau peminat tegar bola mereka boleh memberi skor 2-0.

Apa maknanya. Dua kali dakwaan hanya sekadar kosong belaka. Kesannya reputasi pemimpin terbabit terjejas teruk.

Tiba-tiba hari ini geger lagi isu serupa. Ia dicipta supaya berulang semula. Perhatian rakyat di hala ke Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur.

Presiden PKR mengumumkan mempunyai sokongan majoriti ahli parlimen. Tujuannya untuk menubuh kerajaan Persekutuan. Maka impiannya menduduki kerusi Perdana Menteri.

Ternyata Anwar berjaya mencipta gimik. Boleh dianggap sebagai paling hebat di abad ini. Menyelusuri lagi sidang akhbarnya pemimpin itu tadi, dia mendakwa majoriti diperolehi konklusif.

“Jumlahnya kukuh dan menyakinkan, jauh daripada majoriti kecil,” lapor laman berita.

Bagi menguatkan hujah itu laman berita pro-PH memapar kenyataan Istana Negara. Kenyataan itu mengesahkan Presiden PKR diterima untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong Selasa lepas.

Bukan salin jubah

Namun majlis itu ditangguhkan susulan kegeringan baginda. Apa pun tidak mudah untuk bertukar kerajaan. Bukan seperti salin jubah.

Pengalaman di Sabah sepatutnya menjadi ingatan. Ia tidak mengulangi apa yang berlaku di Johor, Melaka, Perak dan Kedah.

Lagi pun ketika ini Muhyiddin Yassin mengakui masih mempunyai sokongan majoriti. Dakwaan Anwar juga disambut dingin Dr Mahathir Mohamad. Lebih memedihkan lagi apabila bekas sahabat Anwar menyifatkan sebagai pembohong tegar.

Azmin Ali mencatat di laman sosialnya. Itu belum lagi diambil kira pembangkang retak menunggu pecah. Dua parti baharu muncul di rusuk PH. Pejuang dan Muda ada hala sendiri.

Cuba belek pula isu itu di sisi perundangan. Kata pakar perlembagaan Prof Madya Dr Shamrahayu Aziz bolehkah seorang Ahli Parlimen membuat kenyataan media dengan menyatakan kerajaan jatuh.

“Adalah perlu diingat terdapat peranan Yang di-Pertuan Agong dalam keadaan ini,” ujarnya. Beliau mencadangkan sila rujuk Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan.

Apa pun ramai membuat telahan, isu mendebarkan itu dilontar sebagai senjata akhir mempertahankan Warisan dan PH di Sabah.

Ia muncul selepas calon Warisan membuat kesilapan besar. Kelmarin tular video calon Warisan di Dun Segama mendakwa pencerobohan Lahad Datu pada 2013 sebagai sandiwara.

Bekas menteri PH itu dikatakan menganggap anggota-anggota keselamatan sebenarnya bukan ‘berperang’ dengan pengganas. Isu itu mencalar kempen Warisan Plus dan PKR. Pada Pilihan Raya Umum lepas dikatakan banyak undi pos berpihak kepada Warisan.

Semalam undi awal mungkin beralih arah. Undi awal itu membabitkan 16,877 anggota polis, tentera dan pasangan mereka. Jumlah terbabit tidak sikit.

Sumber mendakwa anggota keselamatan melepas amarah di kertas undi di 55 pusat mengundi semalam. Mereka ‘mengamuk’ kerana dihina.

Hakikat itu juga diakui seorang editor di Sabah. “Ketika kempen Warisan Plus lawan BN dan PN nampak seimbang, tiba-tiba perkataan sandiwara mengubah banyak jiwa,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 23/9/2020

- Advertisement -