31 menara baharu sedia kemudahan 4G

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bagi meningkatkan liputan dan kualiti perkhidmatan di Sarawak, sebanyak 31 menara baharu sedang dalam peringkat pelaksanaan bagi penyediaan perkhidmatan jalur lebar mudah alih 4G.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Zahidi Zainul Abidin berkata, jangkaan bagi kesemua menara itu dijangka siap dan beroperasi secara berperingkat bermula pada suku pertama 2021.

- Advertisement -

Demikian kata beliau, ketika menjawab pertanyaan Senator Zaiedi Suhaili pada sidang Dewan Rakyat hari ini, yang meminta beliau menyatakan berkenaan prestasi liputan terkini perkhidmatan jalur lebar seluruh daerah di Sarawak dan usaha dipergiatkan untuk merapatkan jurang digital negeri Sarawak dan negeri di Lembah Kelang.

Beliau berkata, di bawah pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang diumumkan pada 29 Ogos 2020 lalu, sejumlah 636 menara baharu akan dibina di negeri Sarawak.

Katanya, pembinaan menara-menara berkenaan akan dijalankan di bawah program Perkhidmatan Pemberian Sejagat (PPS) bagi memperluas liputan jalur lebar mudah alih dengan teknologi 4G.

Manakala sebanyak 1,043 alat pemancar komunikasi sedia ada akan dinaik taraf melalui program PPS, katanya.

Selain itu ujar beliau, pihak pemain industri juga akan membina sebanyak 49 menara baharu serta menaik taraf sebanyak 825 alat pemancar komunikasi sedia ada secara komersil.

“Perhatian turut diberikan kepada perkhidmatan jalur lebar talian tetap di mana sejumlah 43,013 premis kediaman dan komersil akan tersedia dengan capaian Internet melalui teknologi gentian optik. Jumlah ini akan diselaraskan dari semasa ke semasa,” kata beliau.

Bagaimanapun, usaha bagi meningkatkan liputan dan kualiti perkhidmatan jalur lebar di seluruh negara bagi merapatkan jurang digital di antara kawasan bandar dan luar bandar bukan sahaja melibatkan kerajaan Persekutuan.

Malah memerlukan kerjasama pelbagai pihak, termasuk di peringkat kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan untuk pemudah caraan proses-proses perolehan dan kelulusan tapak yang terlibat.

SKMM akan terus bekerjasama dengan agensi kerajaan negeri iaitu Sarawak Multimedia Authority (SMA) bagi menambah baik liputan dan kualiti jalur lebar di Sarawak.

Justeru itu, kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sentiasa berusaha untuk menambahbaik kualiti perkhidmatan komunikasi di seluruh negara. – HARAKAHDAILY 23/9/2020

- Advertisement -