LK produk bawah MAFI

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Seramai 3,245 orang petani terlibat dalam program Ladang Kontrak (LK) yang diselia oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Timbalan MAFI, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata FAMA membantu petani LK dengan berperanan sebagai agensi pemasar melaksanakan jaminan pasaran melalui strategi seperti pengaturan pasaran, penganjuran program jualan atau pemasaran dan belian terus.

- Advertisement -

Dengan itu katanya, petani yang terlibat di bawah program LK tahun ini adalah peserta berdaftar dipantau oleh jabatan pendaftar masing-masing dan menerima bantuan pemasaran yang dikenalpasti oleh FAMA.

“Sebagai contoh, melalui program pengaturan peserta LK dengan peserta Pasar Tani, seramai 564 peserta telah menandatangani perjanjian dengan jangkaan hasil sebanyak 2,469 MT (Metrik Tan) yang bernilai RM4.54 juta.

“Selain itu, pengaturan pasaran turut dilaksanakan dengan pelbagai segmen pasaran seperti pasaraya, pemborong, pengilang dan peserta IKS. Seramai 1,238 peserta LK telah mendapat manfaat dengan kuantiti jualan sebanyak 22,000 MT dan bernilai RM38.39 juta.

“Pengaturan pasaran bersama pengeksport turut dilakukan bagi membuka ruang pasaran serta menjamin konsistensi bekalan,” katanya dalam sidang Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan daripada Senator Rita Sarimah Anak Patrick Insol yang menanyakan tentang prestasi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan dalam melaksanakan Ladang Kontrak dan sejauh mana program tersebut telah berjaya membangunkan usahawan agro (agropreneur).

Menurut Che Abdullah, peserta LK turut didedahkan dengan pasaran runcit terus kepada pengguna melalui program Jualan Terus dari Ladang yang telah memberi ruang pasaran alternatif kepada pengeluar untuk mendapat margin keuntungan yang lebih tinggi serta memahami kehendak pengguna.

Katanya, sehingga Julai lalu, sebanyak 319 Forward Agreement (FA) telah ditandatangani peserta LK bersama FAMA dengan anggaran nilai sebanyak RM6.25 juta.

“Secara keseluruhannya, program Ladang Kontrak yang dilaksanakan secara integrasi oleh pelbagai jabatan dan agensi di bawah MAFI telah berjaya mendidik dan membangunkan usahawan agro yang mampu menghasilkan produk mengikut keperluan pasaran,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 22/9/2020

- Advertisement -