OPV baharu untuk APMM kawal perairan negara

- Advertisement -

KUCHING: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bakal mendapat suntikan semangat baru menerusi perolehan tiga lagi Kapal Peronda Luar Pantai (Offshore Patrol Vessel (OPV)) seawal tahun depan, untuk menangani pencerobohan perairan negara.

Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som hari ini berkata, OPV  berukuran 83 meter panjang dan 13.7 meter lebar ini, mampu berada di laut sehingga 30 hari tanpa perlu pulang ke pangkalan.

“Bagi memantapkan lagi APMM, telah diluluskan pembelian empat buah helikopter yang kita jangka akan diuruskan pembeliannya selewat-lewatnya pada hujung tahun ini,” katanya pada sidang media majlis serah terima tugas Pengarah APMM Sarawak di sini semalam.

- Advertisement -

Menurutnya perolehan tiga OPV yang melibatkan perbelanjaan RM700 juta itu, akan membolehkan salah sebuah dari kapal berkenaan ditempatkan di Sarawak, sementara masing-masing sebuah di Sabah dan Pahang.

Sementara itu, mengenai majlis serah terima tugas terbabit, Kapten Maritim Zin Azman Md Yunus telah dilantik menjadi Pengarah APMM Sarawak yang baharu, menggantikan Laksamana Pertama Maritim Robert Teh Geok Chuan, yang akan berpindah tugas ke Ibu pejabat agensi itu di Putrajaya.

Dalam pada itu, Mohd Zubil turut mengesahkan tiada anggota APMM di seluruh Malaysia dijangkiti wabak COVID-19, biarpun mereka berhadapan risiko semasa membanteras kegiatan nelayan asing yang menceroboh perairan negara, sepanjang pandemik itu berlaku setakat ini. – BERNAMA

- Advertisement -