Lebih 15 jam bomba padam kebakaran

- Advertisement -

KLUANG: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Johor terpaksa berhempas pulas mengawal kebakaran yang berlarutan sehingga 15 jam melibatkan sebuah kilang tekstil di Jalan Teknologi 2, Kawasan Perindustrian Mengkibol, di sini, sejak awal pagi semalam.

- Advertisement -

Komander Operasi Penguasa Bomba Zon 3 Mohamed Faiz Muin Mohamed Rasidi berkata kebakaran itu bermula kira-kira 2:30 pagi, namun gagal dipadamkan sepenuhnya, setakat pukul 2 petang semalam.

Katanya, ia berikutan kilang berkenaan menempatkan bahan mentah kain kapas dalam kedudukan rapat sekali gus menyukarkan usaha memadam api walaupun pihak bomba telah mula memadam kebakaran sejak 2:42 pagi. 

“Pemadaman (api) agak mencabar kerana kebiasaannya kebakaran melibatkan kain atau tekstil pasti mempunyai bara api yang mampu mencetuskan kembali kebakaran kecil yang boleh merebak ke kawasan berhampiran,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Difahamkan kilang berkenaan sudah enam bulan tidak beroperasi dan ketika kejadian tiada pekerja di dalam kilang.
 
Mohamed Faiz Muin menambah, operasi pemadaman ketika ini masih diteruskan melibatkan empat jentera dan 35 anggota serta empat pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Kluang, Renggam dan Ayer Hitam.

“Penggiliran anggota yang bertugas juga perlu dilakukan memandangkan usaha mengawal kebakaran sudah berlarutan lebih 12 jam.

Pada masa sama, anggota bertugas juga perlu memastikan kebakaran tidak merebak ke bangunan lain dan perlu kerap menyembur air di kawasan berisiko,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -