Tindakan JPV selamat baki kerbau Pak Khamis

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Tindakan segera pegawai dan kakitangan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu telah berjaya menyelamatkan baki kerbau Khamis Jusoh, 64, daripada dijangkiti wabak hawar berdarah.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa Negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, ternakan Khamis yang diserang wabak hawar berdarah diberi perhatian kerajaan negeri dan JPV.

- Advertisement -

Katanya, tindakan segera diambil dengan melaksanakan kerja-kerja menyelamat terhadap ternakan yang tinggal.

“Hari menjelang senja dalam hujan renyai-renyai, kakitangan JPV bertungkus-lumus bekerja untuk menyelamatkan baki kerbau yang masih hidup.

“Sebahagian besar dijangkiti hawar berdarah. Pada tahap ini pemberian vaksin tiada fungsi lagi. Vaksin berkesan sebagai pencegahan sebelum dijangkiti.

“Jasa dan bakti mereka layak dihargai walau pelbagai cemuhan terpaksa mereka terima dan hadapi. Terima kasih semua,” katanya di sini.

Baru-baru ini media melaporkan kerbau yang dipelihara keluarga Khamis di Kampung Banggol Katong, Serada, mati secara berperingkat sejak Rabu lepas.

Kejadian itu disedari penternak terbabit selepas seekor kerbaunya mati dan keesokan harinya beberapa lagi ekor kerbau mati.

Difahamkan lebih 30 ekor ternakan itu mati. – HARAKAHDAILY 18/9/2020

- Advertisement -