Saran negeri lain ikuti Sarawak tubuh KOUSMIK

- Advertisement -

KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyarankan negeri lain untuk mengikut langkah kerajaan Sarawak menubuhkan Koperasi Usahawan Mikro Kebajikan (KOUSMIK) dan menyediakan premis bagi koperasi terbabit.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata KOUSMIK membantu dan membimbing penerima bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Sarawak menjadi usahawan yang mencari pendapatan mengunakan kemahiran dan bakat mereka supaya dapat keluar dari masalah tekanan ekonomi.

- Advertisement -

“Mereka (golongan penerima bantuan bulanan dari JKM) yang  pandai memasak, menjahit atau menganyam juga boleh memasarkan produk mereka melalui premis koperasi yang disediakan. Jadi saya harapkan ini akan menjadi contoh dan inspirasi kepada negeri lain,” katanya ketika melawat Program Pembangunan Usahawan Mikro Kebajikan (UMK) KOUSMIK, di Wisma KOUSMIK, MetroCity Square di sini semalam.

Beliau berkata sepanjang yang diketahuinya, belum ada koperasi khusus sedemikian diwujudkan di negeri lain dan perkara ini akan dipanjangkan untuk perbincangan di kementeriannya bagi melihat penubuhan koperasi dan premis yang sama di negeri-negeri lain. 

“Kita (KPWKM) ada ramai kumpulan sasar dan kita mempunyai pelbagai agensi yang ada pelbagai ruang bagi membantu golongan ini, malahan kita ada banyak kolaborasi dengan koperasi melibatkan kumpulan sasar iaitu orang kelainan upaya (OKU), warga emas, keluarga daif atau ibu tunggal,” katanya.
 
Sementara itu, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Keluarga, Wanita dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata kerajaan negeri ini telah memberi peruntukan membeli tiga lot kedai pada harga RM4.8 juta di MetroCity Square untuk dijadikan sebagai premis KOUSMIK.

“Ia (premis KOUSMIK)  digunakan bagi mempamerkan produk dan juga bertujuan untuk memasarkan produk usahawan mikro kebajikan yang terdiri dari penerima bantuan bulanan dari JKM,” katanya.

 Beliau berkata usahawan mikro kebajikan dimulakan di Sarawak pada 2016 dengan setiap usahawan itu diberikan geran RM5,000 dalam bentuk peralatan melalui peruntukan kerajaan.

Katanya Sarawak juga mensasarkan untuk membantu seramai 750 penerima bantuan kebajikan bulanan JKM menjadi usahawan kecil setiap tahun dan setakat ini, lebih 3,000 orang sudah berjaya dibantu. – BERNAMA

- Advertisement -