Persiapan negara hadapi teknologi baharu 5G

- Advertisement -

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah melaksanakan Projek Demonstrasi 5G atau 5GDP sebagai pendekatan baharu bagi persiapan negara untuk menghadapi kemunculan teknologi baharu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berkata pendekatan baharu itu ialah untuk membenarkan lebih banyak projek demonstrasi dijalankan bagi membolehkan ujian teknologi dan proses merekayasa.

“Ia juga membolehkan perancangan lebih teratur dalam mengutamakan ketersediaan sumber-sumber spektrum dan rangkaian boleh dilancarkan secara bersasar agar kos yang dibelanjakan adalah optimum bagi memastikan perkhidmatan baharu adalah berpatutan kepada pengguna akhir,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Gerbang Sabah di sini malam tadi.

- Advertisement -

Gerbang Sabah dilancarkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Saifuddin berkata pelaksanaan 5GDP itu bertindak sebagai pemangkin dalam memupuk perkembangan ekosistem 5G secara holistik dan inklusif yang berupaya merangsang permintaan serta penerapan awal 5G di negara ini.
 
Selaras dengan itu, MCMC akan melaksanakan 5GDP dengan kerjasama syarikat telekomunikasi di Sabah.

Saifuddin berkata kerajaan juga memberi jaminan akan sentiasa mendengar keluh-kesah penduduk di Sabah dan mengambil pelbagai tindakan proaktif agar penduduk di negeri itu mendapat perkhidmatan komunikasi yang berkualiti serta menyeluruh.

Di bawah pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), beberapa inisiatif infrastruktur telah dikenal pasti untuk dilaksana bagi menambah baik liputan serta kualiti perkhidmatan jalur lebar Sabah dari 2020 sehingga 2022.

“Dalam memastikan kesalinghubungan yang mantap, terdapat keperluan untuk melaksanakan penggunaan teknologi yang bersesuaian.

“Keadaan bentuk muka bumi di Malaysia, lebih-lebih lagi di Sabah dan Sarawak, memerlukan penggunaan teknologi yang sesuai agar liputan, kualiti pengalaman pengguna serta kos adalah berpatutan selain perkhidmatan yang mampan,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -