Dipecat kerana salur maklumat ke SPRM

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mendakwa seorang pegawai kanan syarikat di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, pagi esok atas kesalahan memecat seorang kakitangannya, setelah memberikan maklumat berkaitan salah laku tertuduh. 

Dalam kenyataan hari ini SPRM memaklumkan badan itu telah mendapat izin Pejabat Peguam Negara untuk mendakwa individu terbabit di bawah Seksyen 10 (3) (b), Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711).

Advertisement

“Pertuduhan di bawah seksyen berkenaan merupakan kes pertama dalam sejarah sejak akta berkenaan berkuat kuasa pada 2010,” menurut kenyataan itu.

“SPRM amat prihatin dengan masalah yang terpaksa dihadapi oleh pemberi maklumat sekiranya mereka dikenakan tindakan atas pendedahan jenayah rasuah yang dilakukan oleh pihak tertentu,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu juga memaklumkan SPRM tidak akan teragak-agak menjalankan siasatan ke atas pihak yang cuba mengenakan tindakan yang memudaratkan ke atas pemberi maklumat.
 
“SPRM berharap agar pertuduhan berkaitan kes ini dapat memberikan isyarat kepada masyarakat agar tidak gentar dalam memberikan kerjasama kepada agensi penguat kuasa untuk menyalurkan maklumat berkaitan rasuah dan salah guna kuasa,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) bukan sahaja memberi perlindungan kepada individu yang memberi maklumat, malah turut melindungi mereka daripada dikenakan tindakan atau diberhentikan kerja.

Katanya, banyak kes rasuah dan salah guna kuasa yang dibongkarkan SPRM sebelum ini, adalah hasil maklumat daripada pemberi maklumat itu sendiri.

“Sejak 2010 sehingga kini, SPRM telah memberi perlindungan kepada 290 pemberi maklumat, ia jumlah yang agak besar dan kerjasama mereka menjadikan siasatan SPRM lebih efektif,” katanya kepada Bernama di pejabatnya di sini semalam. – BERNAMA