Tidak gentar dengan MUDA – Syahir

KUALA LUMPUR: PAS tidak gentar dengan penubuhan parti baharu Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) di bawah pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mengetengahkan generasi muda.

Menurut Setiausaha Politik Presiden PAS Mohd Syahir Che Sulaiman, kewujudan parti itu merupakan satu wake-up call buat PAS bagi memperkasakan lagi jenteranya menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kelak.

Advertisement

Jelasnya, PAS tidak memandang rendah potensi yang ada pada parti tersebut dalam mendepani cabaran politik melibatkan para pemain politik senior yang berpengalaman.

Walau bagaimanapun, katanya PAS membawa gagasan spektrum politik lebih besar melibatkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat sekali gus pengurusan pentadbiran kerajaan yang lebih mampan.

“Dalam PAS, spektrum politik lebih besar kerana ianya berkait rapat dengan pendidikan, kebajikan, dakwah, sukan, dan sebagainya.

“Apabila PAS bergabung dengan Umno, Bersatu dan GPS lalu membentuk Perikatan Nasional, maka kita melihatnya dari aspek yang lebih besar dalam mentadbir negara dan ianya boleh diterima pakai oleh rakyat,” ujarnya dalam satu wawancara segmen #ConsiderThis di saluran Astro Awani pada Khamis baru-baru ini.

Tambahnya, langkah proaktif akan dilakukan oleh PAS bagi mengembalikan kepercayaan dalam kalangan belia terhadap parti PAS dan ahli-ahli politiknya bagi persediaan menghadapi PRU ke-15 kelak.

Ujarnya lagi, beliau mempertikaikan tindakan bekas Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu di atas penubuhan parti baharu itu.

“Jika pembentukan MUDA adalah untuk pergerakan golongan belia ianya sangat dialu-alukan.

“Tetapi jika untuk pembentukan parti baharu ianya sesuatu yang menimbulkan banyak persoalan kerana kita mengamalkan sistem majoriti first past the post, dan mereka mungkin terpaksa bergabung dengan pemain lama iaitu PH atau PN semasa PRU-15 kelak kerana akan bersaing hebat dengan kerajaan Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan di dalam PRU-15 nanti, melainkan mereka perlu bergabung bersama para pemain politik sedia ada,” kata Mohd Syahir. – HARAKAHDAILY 18/9/2020