Wanita selamatkan keluarga dari tragedi kebakaran

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan tepat seorang ibu menyelamatkan nyawa diri dan anak-anaknya selepas rumah mereka dipenuhi dengan asap tebal dalam satu kejadian di Taman Puchong Prima dekat sini semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis yang mengambarkannya sebagai kejadian nyaris maut itu berkata, kejadian itu berlaku pada 8:15 pagi ketika Kartina Ab Razak, 31, sedang memasak di dapur kediamannya sebuah rumah teres dua tingkat.

“Dipercayai beliau meninggalkan dapur ketika sedang memasak untuk melihat anak-anaknya yang berusia setahun dan sembilan tahun yang berada di tingkat 1 rumah tersebut. Kami percaya beliau terlupa untuk menutup api dapur dengan makanan yang sedang dimasak.

- Advertisement -

“Tidak lama kemudian, dapur dan bahagian tengah rumah itu dipenuhi asap tebal, dan secara perlahan-lahan mula memenuhi bahagian atas rumah,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, menyedari keadaan itu, wanita itu terus membawa anak-anaknya ke balkoni rumah tersebut di tingkat satu dan menelefon pihak Bomba untuk melaporkan kejadian tersebut.
 
Katanya, dalam tempoh 10 minit, pihak bomba tiba di rumah tersebut dan berjaya membawa wanita dan anak-anaknya itu turun menggunakan tangga.

“Tindakan Kartina membawa anak-anaknya itu ke ruang terbuka itu tepat, dan jika beliau turun ke bawah bersama anak-anaknya di dalam asap tebal, beliau berisiko membahayakan nyawa diri dan anak-anaknya itu,” katanya kerana beliau dan anaknya itu boleh pengsan akibat terhidu asap tersebut.

Norazam berkata, dalam kejadian itu, selain peralatan memasak dan dapur yang hangus, tiada kerosakan lain dilaporkan. – BERNAMA

- Advertisement -