Bantu Suhardy, 4 anaknya sakit kronik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: ‘Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya’ demikianlah kesulitan yang dihadapi keluarga Suhardy Che Omar yang tinggal di Klebang, Ipoh.

Tidak akan ada mata yang tidak berkaca mendengar keluhan keluarga ini apatah lagi keluarga yang memiliki lima cahaya mata ini diuji dengan empat daripadanya mengalami masalah kesihatan kronik.

- Advertisement -

Anak sulong Suhardy yang kini 22 tahun mengalami ketumbuhan di kepala dan tekanan yang kronik.

Beliau telah menjalani enam kali pembedahan dan menanti proses rawatan selanjutnya di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Sementara anak ketiga keluarga ini mengalami asma kronik serta paru-paru bengkak hingga terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan.

Anak keempat yang berumur 14 tahun pula mengalami masalah buah pinggang, kronik hypertension sementara yang anak bongsu mengalami masalah kulit yang kronik.

Kesemua anak Suhardy terpaksa menangguhkan sesi persekolahan sejak sekian lama kerana masalah kesihatan yang kronik ini.

Suhardy pula berhenti kerja demi anak-anak dan hanya isteri beliau yang berkerja kilang untuk membiayai kelangsungan hidup keluarga.

“Alhamdulillah dengan sedikit bantuan dari Baitulmal, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan jiran-jiran dapat menampung defisit dalam perbelanjaan mereka,” kata Timbalan Presiden Muslim Care Malaysia Society (MCM), Mohd Johari Ismail kepada Harakahdaily selepas menziarahi keluarga berkenaan.

Menurut Mohd Johari, setiap minggu Suhardy akan membawa anaknya menghadiri temujanji di Hospital Ipoh, Alor Setar dan juga HKL dengan menaiki bas seawal pagi.

“Ada ketika di awal pagi terpaksa membawa anak keempat beliau untuk menghadiri temujanji dan rawatan di Hospital Ipoh, tetiba anak sawan di atas motor dan memaksakan beliau menghubungi ambulan,” katanya lagi.

Suhardy memerlukan sebuah kenderaan iaitu sebuah kereta dengan harga sekitar RM25,000 bagi memudahkan beliau membawa anak-anaknya ke hospital dan demi keselamatan mereka.

Rasulullah SAW bersabda:

Seorang muslim adalah saudara terhadap muslim (yang lain), dia tidak boleh menganiaya dan tidak akan dianiaya oleh orang lain. Sesiapa yang melaksanakan hajat saudaranya, maka Allah SWT akan melaksanakan hajatnya. Sesiapa yang melapangkan kesusahan seseorang muslim, maka Allah SWT akan melapangkan kesukarannya pada hari kiamat. Sesiapa yang menutupi aib seseorang muslim, maka Allah SWT akan menutup aibnya pada hari kiamat.” (Hadith riwayat al-Bukhari & Muslim)

Sehubungan itu, Mohd Johari berkata pihaknya menyeru orang ramai menghulurkan bantuan memudahkan urusan Suhardy yang sedang diuji dengan ujian yang sangat berat.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun MUSLIM CARE MALAYSIA melalui Maybank: 564490413882
Bank Islam: 14014010147470
Bank Muamalat: 14010007654717.

Dalam pada itu, Mohd Johari memaklumkan PAS Kawasan Ipoh juga telah memberi bantuan kepada keluarga berkenaan. – HARAKAHDAILY 17/9/2020

- Advertisement -