PAS Sri Gading tambah keahlian baharu

- Advertisement -

SRI GADING: PAS Kawasan Sri Gading telah menerima lonjakan semangat disebalik pelbagai kata-kata negatif yang dihadapkan kepada PAS apabila menerima tambahan keahlian baharu dari PAS Cawangan Parit Besar.

- Advertisement -

Seramai 85 ahli baharu cawangan ini telah diraikan dalam satu majlis khas yang dilangsungkan di kediaman Yang DiPertua PAS Sri Gading, Lt Kol (B) M Ashari Sidon di Parit Besar, di sini kelmarin.

Ketua PAS Parit Besar, Suhaimi Misman menzahirkan kegembiraan dan penghargaan kepada seluruh ahli Cawangan yang mengusahakan penambahan itu dalam kalangan ahli keluarga dan masyarakat setempat, seterusnya menyampaikan dakwah Islam.

“Pada Mesyuarat Agung PAS Cawangan di awal tahun, setiap ahli Cawangan telah beriltizam untuk mencapai keahlian baru sebanyak 100 orang pada tahun ini. Justeru, majlis ini sungguh bermakna dalam meraikan pencapaian kita,” ujar beliau dalam ucapannya.

Ashari pula yang menyempurnakan penyampaian sijil keahlian turut menyampaikan taujihat kepada semua ahli baharu agar mendampingi majlis-majlis ilmu dan program PAS agar dapat memantapkan kefahaman terhadap perjuangan yang penuh mencabar dan berliku.

Pengerusi Surau Parit Besar Laut Taib, Awang Ahmad menerima cenderahati berupa periuk nasi elektrik kerana mendaftarkan lebih 50 ahli baru. Beliau mengaku bersemangat dan mampu mendaftar ramai ahli baru kerana melihat usaha tanpa henti yang ditonjolkan oleh kesemua pimpinan PAS terutama Tuan Guru Presiden.

Di majlis tersebut juga, Ketua Penerangan PAS Sri Gading, Mohd Nasir Abdullah turut memberi taklimat ringkas berkenaan perlembangan, dasar dan hala tuju PAS yang mesti benar-benar difahami ini agar sentiasa istiqamah dan patuh kepada arahan pimpinan.

Turut hadir Setiausaha PAS Sri Gading, Ramli Shahid serta Ketua PAS Cawangan Panchor dan Lada Hitam, Rosmi Khairuddin dan Ustaz Arafat Jaafar, juga Setiausaha Pemuda PAS Sri Gading, Firdaus Mahdi yang menyediakan perkhidmatan pendaftaran pengundi. – HARAKAHDAILY 17/9/2020

- Advertisement -