Surat terbuka kepada pimpinan dan ahli PAN

MEMBACA warkah terbuka seorang pemimpin kanan PAN usai solat subuh hari ini benar-benar merosakkan kenyamanan pagiku, hilang segala indah bau rumput disimbah air hujan, aroma alam yang paling aku sukai semenjak zaman kanak-kanak. Warkah yang cuba menghasut akar umbi dan para ulamak akar umbi PAS untuk mempertikai langkah politik Tuan Guru Presiden dan Majlis Syura Ulamak. Menarik juga apabila pemimpin kanan PAN itu masih bernostalgia dengan jawatan mantan Pengarah Strategi PAS, sama dengan seorang pemimpin PAN yang mengekalkan identiti sebagai bekas Peguam PAS. Maknanya nilai mahal dan melonjak harkat apa sahaja yang dapat dikaitkan dengan PAS. Tak gitu?

Advertisement

Bagi generasi baru yang mula berkecimpung dengan medan siasah, mungkin tidak menyedari bingkai masa warkah terbuka itu tersebar. Warkah yang cuba menjadi “asap palsu” untuk menutup isu power struggle di dalam PAN yang terkini. Bukankah saat PAS diejek kerana tidak mendapat kerusi bertanding di Sabah namun Naib Presiden PAN yang meletakkan jawatan kanan dalam parti, juga sebahagian besar pimpinan PAN di Labuan telah meletakkan jawatan dalam parti, malah calon PAN dalam PRN Sabah adalah calon daripada parti lain yang dipinjamkan. Perletakan jawatan tinggi peringkat pusat dengan alasan untuk memberikan fokus menawan Kelantan dalam PRU-15, cukup kontradik! (seperti menyatakan Madonna masih lagi perawan).

Dalam surat terbuka yang berbau sampah itu, Tuan Guru Presiden PAS dan Majlis Syura Ulamak dilihat hilang kompas arah perjuangan kerana menyokong jenayah DS Najib. Jangan keliru tuan Pengarah strategi PAN, PAS mengadakan permuafakatan dengan Umno bukan dengan Najib Razak, jutaan umat Islam negara ini tidak mahu tanah watan ini tergadai di tangan kerajaan PH. Lihat semangat serta indikator kejayaan dan kegembiraan umat ini akibat permuafakatan tujuh kali PRK yang diadakan, PH tersungkur baham tanah dan tertampar malu!

Bahtera PAN tetap tak akan sama dengan bahtera PAS yang didukung oleh umat yang merindui tertegaknya Islam di tanah air ini, bahtera jamaah PAS yang terpandu dengan ulamak yang kawan-kawan PAN semasa berada di dalam PAS cuba untuk menstruktur semula Majlis Syura Ulamak (jangan buat lupa apa perancangan 2015 team dikhayalkan progresif ini, namun disikapi dengan bijak oleh Tuan Guru Presiden dalam mesyuarat terakhir sebelum Muktamar di Kuala Selangor).

Falasi yang cuba dilontar dalam surat terbuka pemimpin kanan PAN yang juga tebal dengan dna IRC ini tidak sesekali melencongkan akal waras kami ahli-ahli PAS yang cinta akan perjuangan Islam. Kami sedang menikmati nikmatnya ukhuwah berjemaah tanpa risau dengan usaha untuk “menawan” PAS sebagai kenderaan politik jamaah lain. Kami baru sahaja selesai bermuktamar di PUTIK Kelantan dengan semangat menggebu untuk memposisikan Islam dalam semua ruang pentadbiran kerajaan yang kami dukung. Anak- anak muda kami juga dengan keseriusan menggempur sasaran baru di alam maya, berdakwah dalam semua medium agar parti Islam berusia 69 tahun ini kekal relevan kapan pun. Ohhh, benarkah tiada mesyuarat Biro Politik PAN setelah sekian lama ditubuhkan? Hala tuju politik PAN hanya mengikut kepala tuan Presiden yang sangat mesra DAP? Aku hanya bertanya, soalan yang jawabannya sudah menjadi rahsia umum rakyat jelata tanah leluhur ini.

Buat pemimpin kanan PAN itu juga, usikan anda terhadap Tuan Guru Presiden PAS tak menjejaskan usaha pengukuhan politik Melayu-Islam melalui Muafakat Nasional. Bahtera politik dakwah ini telah merempuh gelora badai selama 69 tahun, dengan mengadakan pelbagai pendekatan di sektor siasah, dakwah dan tarbiah. Kebijakan politik dipandu oleh Majlis Syura Ulamak, setiap keputusan jamaah disaring dan ditapis dengan ketelitian.

Sebelum PRU-14, anda dan kawan-kawan so called profesional yang mentertawakan kenyataan Presiden PAS bahawa parti Islam ini akan menjadi king maker dalam politik Malaysia. Namun hari ini mulut kalian terkunci dan tersipu malu, PAS menjadi rakan kongsi kerajaan Persekutuan dan memimpin tiga buah kerajaan negeri. Bagi aku, jangan main-main dengan sang ulamak pemimpin yang berteleku di sejadah malam dan mulutnya sentiasa mengumam kalam suci Tuhan.

PAS terus dihujani ahli-ahli baru terutama kelompok anak muda, sebagai indikator bahawa masa depan harakatul ummah ini sangat benderang. Setiap bulan ribuan ahli baru mendaftarkan diri sebagai pendukung PAS kerana melihat hala tuju PAS yang jelas. Ohh, kami juga yang dimomokkan sebagai parti lebai kampungan baru sahaja menerima keahlian Encik Murali Abdullah, pengarah drama yang beberapa kali memenangi anugerah berprestij industri seni. Ironi kan?

Tuan Pengarah Strategi PAN jangan pula melupakan galur sejarah yang kumpulan tuan olah dan cetuskan sebelum dan selepas 2015. Pergolakan PAS sebelum dan selepas muktamar di Kuala Selangor 2015 telah menatijahkan PAS kehilangan sebahagian ahli, bermula dengan 18 pemimpin yang tewas dalam Muktamar kali ke-61 maka mereka menamakan diri sebagai Gerakan Harapan Baru (GHB), seterusnya membeli Parti Pekerja dan menjenamakan sebagai Parti Amanah Negara (PAN). Kemasukan secara en bloc teman- teman NGO berDNA IRC, JIM, IKRAM, juga ahli-ahli PAS yang terkeliru serta kempen agresif parti sekutu DAP itu sedikit sebanyak menggegarkan PAS pada awalnya. Kemenangan PH dalam PRU-14, 9 Mei 2018 juga seolah memberikan nyawa kepada mereka, teringat aku dengan sikap membusung dada pemimpin PAN, bukan sekadar di media sosial, juga di alam nyata.

Selama 22 bulan mereka ditampuk dan koridor kuasa, masyarakat Islam negara ini melihat betapa lemahnya pemimpin PAN menjaga Islam dan ummat Islam. Mereka seolah rubber stamp house kepada pemimpin-pemimpin DAP, pola simbiosis ini difahami kerana latar sejarah penubuhan mereka sejak 2015. Sejak mereka berkuasa lagi, disedari sedikit demi sedikit bekas penyokong PAS dalam PAN mula tawaquf dalam aktiviti kerajaan PH dan mula bertanya khabar untuk pulang bersama PAS. Ramai yang tersedar budaya berorganisasi PAS tidak sama dengan mana-mana parti, PAS bukan sekadar memburu kuasa untuk melaksana dan menjaga Islam namun program amal tarbawi yang berjalan kepada ahli-ahli mereka. PAS adalah wadah umat yang cintakan Islam, ahli dan pimpinannya berhujan panas dan berembun untuk menjayakan setiap program dan agenda jamaah.

Enam bulan terakhir ini juga semakin galak bekas ahli-ahli PAS dalam PAN mula bertanya khabar untuk kembali berpaut dengan PAS, daripada tanah Selatan Johor sehinggalah ke bumi Sabah. Dalam serangan menggila serangan pemimpin PAN akibat hilang kuasa, maka ahli-ahli mereka mula menyedari apakah matlamat perjuangan parti serta sikap pemimpin mereka, bukan sekadar dengan masalah peribadi namun haibah sebagai qiadah jamaah. Seorang bekas pemimpin akar umbi PAN, ustaz Sabri Salleh meninggalkan PAN kerana isu teologi syiah yang dipalitkan dengan pemimpin tertentu PAN. Bahtera PAN pasti akan berkocak hebat sehingga akan ramai yang akan terjun daripada bahtera untuk menghirup udara segar di luar sana.

Ayuh kawan-kawanku ahli PAN semua, pintu harakatul ummah ini terbuka buatmu, kami tak menutup pintu buat kalian. Jangan merasa malu dan tertampar kecewa melihat tingkah pemimpin kalian. Pintu markas tarbiah tetap ceria dengan program usrah, iftar jamaie, liqa fikri dan pelbagai program. Usah terkeliru memilih kerana kehidupan ini sangat singkat, lihat juga bagaimana penghujung akhir kehidupan pimpinan PAS yang istiqomah mengibar panji perjuangan, indah kan?

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI ) – HARAKAHDAILY 15/9/2020