Wehdah Ummah konsep berpaksi ketaatan

- Advertisement -

MUKTAMAR PAS kali ke-66 yang bertemakan ‘Islam Memperkukuh Perpaduan’ membuktikan komitmen PAS mengangkat konsep ‘Wehdah Ummah’ berpaksikan ketaatan kepada Allah dan Rasulullah S.A.W tanpa mengenepikan realiti masyarakat majmuk di dalam negara.

Prinsip PAS yang berpandukan Al-Quran, Al-Sunnah, Ijma’ ulamak serta Qias menjadikan perjalanan PAS sentiasa berada dalam ikatan patuh syariah di bawah pimpinan Majlis Syura Ulamak.

Meskipun PAS sering ditohmah dengan pelbagai gelaran seperti parti rasis, ekstrem, lebai dan lain-lain namun tema muktamar kali ini berjaya meletakkan parti itu sebagai parti yang memiliki kekuatan dalaman memperkukuhkan Islam dari setiap sudut.

- Advertisement -

Sementara itu dari sudut luaran pula, PAS berjaya merapatkan saf parti-parti berasaskan perjuangan Melayu Islam menerusi pembentukan Muafakat dan Perikatan Nasional.

Oleh demikian kekuatan Muafakat Nasional (MN) lebih terserlah dengan ulang tahun pertama kelahirannya yang telah membuahkan beberapa siri kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di beberapa tempat termasuk yang terakhir di Slim.

Ratiban wirid ‘kerajaan pintu belakang’ atau ‘kerajaan tebuk atap’ oleh Pakatan Harapan (PH) sudah kian beransur serak dan melenyap. Mereka lupa bahawa amalan demokrasi membenarkan peralihan kuasa melalui sokongan Ahli Dewan Rakyat kepada yang memiliki majoriti untuk menubuhkan kerajaan.

Sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika itu selari dengan Perlembagaan Negara yang membolehkan beliau menubuhkan kerajaan. 

Rakyat sebenarnya muak dengan gelagat ahli dan pemimpin PH yang jelas haloba merebut kuasa, bercakaran sesama sendiri sehingga mengakibatkan ekonomi dan kewangan negara semakin merudum dan akhirnya mereka jatuh dengan sendiri tanpa dijolok  oleh sesiapa pun.

Kini, tibalah masa ahli-ahli PAS  melaksanakan amanat di dalam buku muktamar ‘Islam Memperkukuhkan Perpaduan’yang memperlihatkan bahawa Islam adalah sebuah sistem adil untuk semua serta fleksibel pada setiap masa dan tempat.

Oleh itu jangan leka lagi, “Siapa lagi kalau bukan kita yang mendukung dan memperkukuhkan Islam.”

DR. AHMAD FAKHRUDDIN SHEIKH FAKHRURAZI
Ahli Jawatankuasa Kerja 
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 15/9/2020

- Advertisement -