Pusat proses ayam kotor ditutup DBKL

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sebuah pusat pemprosesan ayam di Spring Crest Industrial Park, Batu Caves dekat sini, diarahkan tutup selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui Unit Kawalan Makanan Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar mendapati pengendalian premis berkenaan tidak bersih. 

Dalam satu kenyataan, DBKL memaklumkan sudah mengeluarkan Notis Perintah Penutupan di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 berkuat kuasa hari ini. 

“Hasil pemeriksaan mendapati tahap kebersihan premis tidak memuaskan, lantai premis kotor serta berdaki hitam selain keadaan premis yang tidak tersusun kemas serta tiada amalan ‘FIFO’ (First In First Out). 

- Advertisement -

“Peti sejuk beku juga tidak diselenggara dengan baik, kotor dan berbau busuk serta terdapat sisa makanan di atas lantai. Longkang awam penuh dengan sampah sarap dan pemprosesan makanan yang dilakukan kurang dari 0.45 meter dari aras lantai,” menurut kenyataan itu, semalam. 

Kenyataan tersebut turut memaklumkan tindakan seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa oleh DBKL bagi memastikan pengendali premis mematuhi peraturan dan tahap kebersihan yang ditetapkan.

Sabtu lepas, sebuah pusat pemprosesan ayam di Jalan Sungai Besi di sini diarah tutup selepas DBKL menerusi Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar serta Jabatan Penguatkuasaan mendapati tahap kebersihan premis itu tidak memuaskan. – BERNAMA

- Advertisement -