‘Jom Maghi Derak Kelate’ pikat pelancong

Foto RIZAL TAHIR
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan menjadikan tema ‘Jom Maghi Derak Kelate’ sebagai tarikan baharu pelancong domestik ke negeri itu.

Dialek Kelantan berkenaan digunakan memandangkan perkataan ‘derak’ telah menjadi sinonim kepada masyarakat negeri itu yang membawa erti ‘pergi berjalan’.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan, Mejar (B) Dato’ Md Anizam Abd Rahman berkata, perkataan itu sebagai budaya yang turut digunakan kaum lain di negeri itu.

“Ia merupakan lambang perpaduan kaum yang sudah sinonim dengan Kelantan. Ia membawa maksud sila berkunjung ke Kelantan beramai-ramai,” katanya selepas majlis pelancaran program pakej Kelantan Sightseeing Tours – ‘Mari Dderak Di Klate’.

Pada masa yang sama turut diadakan majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Jasa Teratai Holidays Sdn Bhd dengan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI).

Md Anizam berkata, program itu dianjurkan bertujuan mempopular Kelantan dalam kalangan pelancong supaya sentiasa rindu untuk datang lagi ke Kelantan.

Turut hadir pada majlis itu Pengarah Tourism Wilayah Timur Hafiz Hazin, Ketua Penolong Setiausaha (Pelancongan dan Kebudayaan) Nik Mahmud Nik Jaffar.

Sementara itu perjanjian persefahaman itu ditandatangani Setiausaha MPKB BRI Mohd Ariff Ghazali dan Ketua Whipnya, Azmi Mohd Nor.

Manakala Jasa Teratai Holiday Sdn Bhd diwakili Mimi Roziah Abdul Rahman. – HARAKAHDAILY 15/9/2020

- Advertisement -