Setahun MN: Ukhuwah bukan ‘adawah’

- Advertisement -

HIMPUNAN Perpaduan Ummah pada 14 September 2019 di PWTC Kuala Lumpur telah berusia setahun umurnya, implikasinya melonjakkan pengaruh kuasa politik Melayu Islam sehingga menumbangkan kerajaan PH di peringkat Persekutuan dan beberapa buah kerajaan negeri. Himpunan bersejarah ini mendapat liputan media daripada dalam dan luar negara termasuk rangkaian berita Al Jazeera. Kicauan dan menggelegak di medsos isu penyatuan ummah ini , Umno ditubuhkan pada tahun 1946 manakala PAS sebagai mata rantai Hizbul Muslimin ditubuhkan pada tahun 1951.

- Advertisement -

Setahun yang lalu, musuh politik PAS dan UMNO seperti sawan babi dan terpanar, tak sepi mereka menilai dengan mata lalat dan menghujam dengan penuh nafsu. Avatar siber seperti RBA meratib siang dan malam agar kesepakatan dua buah parti umat Islam ini gagal untuk bertaut, namun pendukung PAS dan Umno telah bertekad untuk berdamai dan saling memaafkan.

Kebanyakan komen daripada pemimpin PH ialah bagaimana PAS menjadi begitu singkat ingatan terhadap kezaliman Umno terhadap PAS selama ini, tragedi Memali, royalti minyak terhadap kerajaan PAS, pengucilan terhadap kerajaan Kelantan, dan lain-lain. Usaha menimbulkan keraguan kepada pemuafakatan ummah juga membandingkan dua orientasi berbeda bagi dua parti yang selama hampir tujuh dekad bertarung di pentas demokrasi.

Paling takut ialah pemimpin DAP yang cuba menggambarkan permuafakatan ini akan menyebarkan rasa permusuhan antara kaum dan menyuburkan polarisasi kaum. Ketakutan DAP dengan pantas disambung oleh parti PAN, perkakas politik mereka yang paling setia. Lihatlah kegelabahan mereka seolah langit akan menghempap negara ini dan terbakar menjadi padang jarak padang tekukur. Naratif yang dibawa oleh pemimpin PH bahawa PAS akan kembali disakiti apabila BN kembali berkuasa di peringkat nasional sebagaimana PAS ditendang pada tahun 1977.

Dalam politik, semua pertimbangan risiko perlu diambil kira dan memahami latar sejarah, unjuran strategik namun jika sejarah silam sesebuah parti politik diambil kira, maka tidak akan berlaku apa-apa permuafakatan, pakatan strategik atau kerjasama berdasarkan realiti semasa.

Pemimpin PH wajar bercermin diri apatah lagi ucapan-ucapan lampau mereka terekod kemas di alam siber. Apa yang mereka tidak gambarkan pada watak antagonis Tun Dr. Mahathir sebelum mereka menjilat balik ludah mereka? Tetapi untuk menakluki Malaysia dan menjatuhkan BN, maka tanpa sepicing perasaan bersalah maka pimpinan PH terpaksa ‘sujud menyembah’ insan yang mereka gambarkan sebagai “Maha Firaun”. Mereka berpolitik seolah tanpa ada dosa dan pahala, kebal azab neraka!. Menarik juga apabila kini dalam PH sendiri berlaku gerakan untuk menolak Dr Mahathir sebagai pemimpin utama Pakatan pembangkang.

Permuafakatan Melayu Islam dalam tempoh setahun ini, bukan sahaja dapat meneguhkan kuasa politik Islam Melayu negara ini, namun menjalin hubungan dengan kaum-kaum lain bagi memastikan negara ini di landasan yang betul. Rakyat yang gelisah dan marah dengan reputasi pemerintahan PH dalam tempoh 22 bulan , mereka bercakaran sesama sendiri, penjualan aset negara, hubungan kaum yang mula tidak harmoni kerana sikap etnosentrisme sebahagian pemimpin PH terutama daripada DAP, pengangguran semakin menjolok mata, polisi-polisi pra matang para Menteri, kontrak sosial yang mula didobrak pasca 9 Mei 2018.

PAS yang ditarjih oleh Majlis Syura Ulama melihat tanah watan ini perlu diselamatkan sebelum dihancurkan oleh politikus jalanan yang mendapat kuasa dalam PRU-14. Permuafakatan politik ini juga diterima dalam ruang demokrasi, sehingga menyaksikan kemenangan demi kemenangan dalam siri-siri pilihan raya kecil. Kesepakatan ini juga telah menumbangkan kerajaan PH yang hanya sempat di puncak kuasa selama 22 bulan. Pakatan Harapan tumbang di Johor, Kedah, Perak dan Melaka serta bergegar pentadbiran negeri Sabah.

Pemimpin Pakatan Harapan terpinga-pinga akibat jatuh tergolek daripada Putrajaya malah satu demi satu kebobrokan mereka ditelanjangkan. Kes mahkamah akibat salah guna kuasa pula sedang dibicarakan serta tragedi politik dalaman PH semakin membarah dengan perpecahan. 22 bulan dipersada kuasa, rakyat dapat menilai hati budi pemimpin dan polisi kerajaan PH, bahkan PRU-15 nanti, kita akan melihat hukuman rakyat terhadap gabungan yang didominasi oleh parti DAP.

Koalisi dan permuafakatan politik Melayu-Islam ini wajib diperteguhkan, bukan dicari jalan untuk dipecahkan demi ambisi kuasa .

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI) – HARAKAHDAILY 14/9/2020

- Advertisement -