Di antara pakar bedah dan AJK PAS Pusat

- Advertisement -

TIDAK pernah saya terfikir untuk duduk di barisan hadapan ketika Muktamar PAS Pusat. Ini adalah kali pertama dan mungkin kali terakhir sebelum PRU ke-15. Saya telah menjadi ahli PAS sejak tahun 1990. Lebih selesa untuk duduk di bawah dan mengkritik pimpinan dan PAS sesama kawan-kawan sama ada saluran rasmi atau tidak. Didengari atau tidak, tidaklah menjadi soal. Yang penting kita puas mengkritik mengikut idealisma kita. PAS tidaklah sempurna tapi ia adalah yang paling baik di antara parti-parti politik yang lain yang ada di negara ini.

Saya menjadi Pakar Bedah sejak 2001 Dan Pakar Bedah Vaskular sejak 2004. Tidak ramai Vaskular Surgeon di Malaysia. Agak sibuk rutin hariannya. Pembedahan selalunya berakhir sehingga jam 10 atau 11 malam. Hampir setiap hari. Agak sukar untuk terlibat aktif dalam politik dan pada masa yang sama, anda aktif dalam urusan perubatan harian anda.

Itu juga lah yang dihadapi oleh para profesional dalam PAS. Mereka masih aktif dalam urusan kerja harian yang juga penting untuk pembinaan negara. Sehingga kebanyakan mereka banyak membantu PAS di belakang tabir. Itulah PAS. Ia mempunyai banyak lapisan. Lapisan pimpinan yang duduk di hadapan Dan didukung oleh para profesional yang duduk di bahagian belakang.

- Advertisement -

Kehidupan saya berubah sejak 2015, tahun sebilangan pimpinan dan ahli PAS tergesa-gesa untuk menang. Terpaksa saya menyambut baton perjuangan supaya sekurang-kurangnya ia menjadi lebih stabil sama ada di negeri atau pusat. Pada masa yang sama dapat saya gunakan untuk  menyampaikan idea dan kritikan bagi penambahbaikan perjalanan jamaah yang sememangnya lebih baik daripada yang lain.

Bagaimana menguruskan masa antara jadual pembedahan yang padat dan urusan politik dalam posisi yang ada. Tiada rahsia khusus. Bezanya ialah saya jarang mahu menerima untuk memberi ceramah politik. Tak ada masa.Meeting pun saya tidak dapat beri komitmen kehadiran. Kalau habis operation cepat, saya akan hadir. Dan terima kasih kepada rakan-rakan seperjuangan yang memahami dan sentiasa menjadi backup untuk memimpin mesyuarat sekiranya perlu. Yang penting ialah penyampaian idea dan pembentukan pimpinan pelapis di setiap peringkat. Itulah norma baru yang saya rasa PAS perlu ada. Pemimpin membentuk idea dan ditunjukkan model kepimpinan bukan melalui ceramah tetapi melalui tindakan.

Mudah-mudahan baton kepimpinan ini akan terus disampaikan kepada pemimpin-pemimpin baru yang akan muncul di tahun mendatang. Yang penting bagi kami dalam PAS ialah cuba membawa rakyat dan negara ini ke arah yang lebih baik yang sentiasa diredhai Allah walau bagaimana sukar sekalipun perjalannya.

Bagi saya sendiri, sekiranya diberi pilihan di antara politik dan Pakar Bedah Vaskular, saya akan tetap memilih yang kedua. Namun semuanya adalah di bawah orbit yang ditentukan oleh Allah.

DR. MOHD MAZRI YAHYA
Ahli Jawatankuasa Kerja
 PAS Pusat – HARAKAHDAILY 14/9/2020

- Advertisement -