Muslimat Labuan perkukuh saf menuju PRU15

- Advertisement -

LABUAN: Dewan Muslimat PAS Kawasan Labuan telah melaksanakan program Jalinan Mahabbah Muslimat (JMM) ke arah meneguhkan persiapan anggotanya menghadapi PRU15 di Beta Apartment Labuan, di sini yang berakhir kelmarin.

Program dua hari itu bertujuan merapatkan saf, ukhuwah dan menyuntik semangat anggotanya dan menguatkan azam bagi berdepan perang siasah, sekali gus mengekalkan momentum Muslimat sebagai tenaga penting pilihan raya.

Program melibatkan seluruh Ahli Jawatankuasa Muslimat PAS Labuan dan diisi dengan munajat Gelombang AKIFI dalam menambah kekuatan rohani ini dipimpin bersama Ketua dan Naib Ketua Muslimat PAS Labuan, Jarinah Awang Jaafar dan Sitti Salma Ambo.

- Advertisement -

Selain suntikan rohani, mereka juga mengikuti siaran secara atas talian ucaptama Ketua Muslimat PAS Malaysia sempena Muktamar Tahunan Muslimat PAS Malaysia Kali Ke-61 di Hotel Premiera, Menara MARA, Kuala Lumpur.

Menurut Jarinah, ianya telah meletakkan persiapan mental anggotanya yang diharap merangsang persediaan fizikal bagi mendepani gerak kerja pilihan raya di mana sangat menuntut tenaga dan idea dicurah tidak sedikit.

“Dalam kiraan yang tidak begitu lama lagi kita bakal berdepan PRU15. Ini setelah kita berusaha mengisi kemenangan yang diterima sejak Mac 2020 lalu. Maka tiba masa kita melipatgandakan tenaga untuk keluar kepada masyarakat dan memahamkan mereka mengenai pemilihan pemimpin yang benar-benar mampu memerintah negara,” ujarnya.

Dimaklumkan program ini juga akan diteruskan secara berkala sehingga semua anggota Muslimat PAS Labuan dapat memberi tumpuan kepada misi lebih besar mahu dicapai parti berbanding hal peribadi masing-masing. – HARAKAHDAILY 14/9/2020

- Advertisement -