Tak akan biar Penyatuan Ummah dicerai-berai

Setahun termeterainya Piagam Muafakat Nasional, 14 September

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Agenda Penyatuan Ummah dimulakan dua entiti besar Melayu-Islam iaitu PAS dan Umno yang selama ini diketahui umum saling bertentangan, sememangnya perkara amat mengejutkan.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, PAS dan Umno merupakan parti paling lama dan berpengalaman dalam negara ini dengan masing-masing juga mempunyai pengaruh tersendiri.

Menurut beliau, kedua-dua parti bukan hanya bertembung pendekatan, bertikam lidah di pelbagai platform serta saling menuding salah dan menjatuhkan, tetapi turut pernah mencatat tragedi pertumpahan darah.

“Semua pihak melihat mustahil keduanya akan bersama. Tak mungkin sama sekali. Masing-masing pun tidak pernah menafikan saling bermusuhan. Cukup berpatah arang. Hampir tiada menang-menang, mesti salah satu pihak dikalahkan, satu pihak lagi menang. Sentiasa tegang.

“Tetapi bila kedua-duanya mengikat ukhuwah, ia satu kejutan kepada semua. Orang PAS sendiri pun terkejut, orang Umno terkejut, rakyat awam terkejut. Paling terkejut sekali dan tidak boleh terima perkara ini ialah DAP,” ujarnya dalam temubual khas sempena Setahun Muafakat Nasional.

Terang beliau, walaupun keduanya juga pernah menyatu dalam kerajaan campuran Perikatan dan Barisan Nasional (BN) antara tahun 1972 hingga 1978, tetapi ia penuh dengan banyak ‘episod politik’ yang merenggangkan.

Malah ujarnya, usaha untuk menghubungkan PAS dan Umno atau setidak-tidaknya bersolidariti dalam sesuatu kepentingan juga seringkali gagal, bahkan terhalang oleh individu-individu yang menentang keras penyatuan dua pihak ini.

“Mereka yang dari PAS melihat PAS cuba mencari kepentingan serta menggadai prinsip atau menuduh curang kepada perjuangan. Dari Umno pula melihat Umno cuba berlunak dengan PAS yang jadi saingan tradisinya. Masing-masing sukar mengikat percaya.

“Namun, peranan dan kesungguhan dilaksanakan untuk menyatukan keduanya tetap berlangsung hingga keadaan berubah menjadi lebih sihat. Politik yang lebih matang dan sejahtera dapat disemai,” kemukanya.

Bagaimanapun katanya, penyatuan itu dilihat sukar bukan sahaja disebabkan faktor stigma masa lampau yang telah dilalui terutama oleh akar umbi PAS, tetapi juga kerana Umno perlu menyusun organisasinya setelah kehilangan kuasa.

Namun menurut beliau, apabila PAS dan Umno berada setara dalam saf pembangkang selepas PRU14, maka tembok besar yang selama ini memisahkan keduanya lebih setengah abad akhirnya runtuh dan penyatuan menjadi mudah.

Bangkit bila diancam

Ketika sama ujarnya, wujud gugatan dan ancaman tersangat melampau ke atas agama Islam, martabat Raja-raja Melayu, kepentingan Melayu dan Bumiputera, serta Bahasa Kebangsaan bersama perlekehan terbuka di media sosial.

Semua itu bidasnya, datang dari keangkuhan DAP yang berasa telah cukup berkuasa dan kuat kerana dapat menewaskan BN dan mampu mencengkam komponen Pakatan Harapan (PH) lain iaitu PKR, BERSATU dan PAN ketika itu.

“DAP menyentuh banyak hal yang amat sensitif kepada keharmonian masyarakat majmuk. Mereka biar sikap biadab berleluasa. Mereka marakkan api perkauman. Mereka cabar tonggak negara yang termaktub dalam Perlembagaan.

“Rakyat pula rasa dipermainkan bila ‘harapan’ mereka musnah ditipu PH. Hak dan peruntukan biasa diberi dari Belanjawan tahunan telah dikurang atau dihapuskan. Setiap masa PH asyik menyalahkan kerajaan sebelumnya.

“Ancaman, gugatan dan sikap melampau PH yang dibayangi DAP ini menimbulkan sedar kepada PAS dan Umno perlu untuk bersama menghadapi semua itu. Rakyat juga mulai sedar undi PRU14 menjadi pilihan yang dikhianati PH, lalu berlakulah perubahan dan kebangkitan,” ujarnya.

Jelas beliau, itulah yang menyatukan PAS, Umno dan rakyat di mana mesej itu ditunjukkan kurang enam bulan PH memerintah, apabila himpunan mega Bantah ICERD berlaku di Ibu Negara, Kuala Lumpur.

Hari ke hari kata Kamaruzaman, kepercayaan kepada PH makin merosot, manakala PAS dan Umno yang memeterai Piagam Muafakat Nasional semakin teguh mendapat keyakinan serta dukungan dari kaum Melayu khususnya.

Penjelasan ini disokongnya dengan rekod kemenangan yang diraih oleh gabungan baharu itu pada siri-siri pilihan raya kecil membawa agenda Penyatuan Ummah, sekali gus memberi isyarat keraguan dan penolakan kepada PH.

Malah akuinya, kekuatan ikatan agenda inilah yang mempertautkan pihak-pihak lain dari dalam PH untuk turut bersama dan demi menyelamatkan negara di mana ketika itu telah alami kepincangan teruk akibat perebutan kuasa.

“Jadi tindakan BERSATU dan beberapa pemimpin lain keluar dari PH adalah misi menyelamat. Hari ini, PH yang masih bersisa cuba mengadu-domba untuk melihat Penyatuan Ummah telah terbina ini kembali bercerai-berai.

“Hubungan yang ada kini baru berusia setahun. Ia belum teguh, tetapi kita sudah cukup belajar akibatnya. Untuk berpecah kami sedar akibatnya akan menyebabkan kehancuran ke atas agama, bangsa dan negara ini.

“Kelemahan itu ada, tetapi untuk biar dipijak sekali lagi oleh DAP dan sekutu-sekutunya, termasuk mereka yang rela menjadi khadam DAP untuk melihat perpecahan ini, ia tidak akan dibiarkan. Kami kini bersetia atas dasar yang sama,” tegasnya.

Kamaruzaman turut menafikan bahawa Muafakat Nasional antara PAS dan Umno seterusnya selepas ini akan disertai BERSATU merupakan wadah yang memperjuangkan atau bersifat perkauman untuk Melayu.

Jelas beliau, permulaan pembentukannya memerlukan Penyatuan Ummah melibatkan kaum Melayu kerana teras dan majoriti penduduk ini yang dipunyainya di mana mereka mesti diikat untuk berteguh terlebih dahulu.

Terangnya, dengan kekuatan yang wujud dari asas ini akan mengikat pula hubungan dengan kaum-kaum lain dalam negara ini seterusnya menaungi seluruh seluruh masyarakat majmuk Malaysia.

“Kerana itulah Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang seringkali mengulang-ulang bahawa negara ini mesti dibina semula oleh parti-parti yang pernah bersama terlibat dalam pembentukan negara dan kemerdekaan dahulu.

“Hari ini, semua kesatuan ini sekali lagi berulang berada bersama dalam Perikatan Nasional. Kita juga sudah saksikan peralihan sokongan rakyat termasuk kaum-kaum bukan Melayu kepada gabungan baharu ini yang semakin diyakini dan kuat.

“PH hari ini sudah kehilangan mandat sokongan rakyat. Maka mereka pun membawa propaganda untuk melihat perpaduan ini kembali berpecah-belah. Generasi ini tak akan mengulangi kesilapan itu lagi, in sya Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/9/2020

- Advertisement -