Bomba Fighters juara Divisyen Satu STL

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pasukan Bomba Fighters muncul juara Divisyen Satu Kejohanan Sepak Takraw League (STL) 2020 selepas menewaskan Putrajaya Cyborg, 21-13 dan 21-15 pada aksi final di Stadium Titiwangsa, di sini, malam tadi.

Kemenangan itu membolehkan Bomba Fighters membawa pulang wang tunai RM12,000 serta piala kejohanan, manakala Putrajaya Cyborg meraih RM10,000 selaku naib juara.

MASUM-UPM Knights pula menduduki tempat ketiga selepas mengatasi Melaka Titans menerusi keputusan 17-21, 21-14 dan 21-14. MASUM-UPM Knights meraih RM7,000 manakala Melaka Titans membawa pulang RM5,000 selaku pemenang tempat keempat.

- Advertisement -

Selaku juara dan naib juara, Bomba Fighters dan Putrajaya Cyborg layak beraksi dalam saingan Divisyen Premier pada musim depan, selain mengesahkan tiket ke Kejohanan Piala Juara-juara yang dijadual berlangsung di Iskandar Malaysia dari 23-29 November ini.

Hadiah kemenangan disampaikan Yang Dipertua Negeri Melaka, TunMohd Ali Rustam dan turut hadir Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) Datuk Seri Ahmad Ismail. 

Lapan pasukan menyertai saingan Divisyen Satu STL yang bermula sejak 8 September lepas, iaitu Terengganu Turtles, MASUM-UPM Knights, Putrajaya Cyborg, Bomba Fighters, Perlis Vipers, Melaka Titans, PSM Mavericks dan Kedah Eagles. – BERNAMA

- Advertisement -