Muktamar paling luar biasa di musim pandemik

- Advertisement -

SIMBAHAN indah cahaya keperakan dipagi perasmian Muktamar Tahunan PAS kali ke-66 di PUTIK, Kelantan seperti menghantar isyarat, Parti Islam yang berusia 69 tahun ini akan menjadi sebagai pemain utama dalam politik tanah air ini. Di tengah keriuhan Pilihan Raya Negeri Sabah, juga dengan jerebu pandemik Covid-19, muktamar tanpa pemerhati luar, tanpa jajaran gerai jual beli dan pameran. Segalanya menjadi asing dan nadir bagi kita ahli PAS kerana muktamar biasanya seperti hari raya bagi kita semua.

Jumlah petugas juga terhad, anggota Jabatan Amal juga mengecil, saringan kesihatan dibuat rapi agar tak muncul pasca muktamar ini, ” kluster muktamar” yang akan dijadikan bahan untuk mentertawakan PAS. Walau bagaimanapun, himpunan ratusan pimpinan PAS pelbagai peringkat di PUTIK kali ini penuh dengan lonjakan semangat yang menggebu untuk melihat daripada dekat perjalanan acara tahunan yang paling berprestij kepada harakatul ummah ini.

- Advertisement -

Muktamar adalah medan ukhuwah yang mengikat tali hubungan antara pimpinan dan ahli, berbezalah pandangan namun ukhuwah jangan dileraikan kerana prasyarat kemenangan Islam ialah ukhuwahfillah. Robohnya ikatan ini akan menghantar gerakan Islam ke jurang berantakan yang akan menyirnakan kekuatan. Cukuplah perpecahan akibat sikap egois dan perpuakan dalam bahtera besar perjuangan Islam yang juga berlaku kepada gerakan Islam yang lain di luar negara.

Muktamar kali ke-66 ini juga dalam kondisi PAS kali kedua menjadi rakan kongsi pentadbiran Persekutuan dan juga menguasai tiga buah negeri jantung hati orang Melayu. Pimpinan PAS berada di pentas utama, ada yang menggalang jawatan Menteri, Timbalan Menteri, Menteri Besar dan jawatan strategik dalam memposisikan PAS sebagai pemain politik yang mempunyai variasi pengalaman.

PAS dengan keahlian yang pelbagai, juga dengan jalur berfikir yang rencam maka perbedaan pandangan bukanlah satu perkara yang pelik. Ditambah dengan fenomena budaya media sosial yang membuka ruang kritikan, ruang argumen seluas mungkin maka PAS menjadi subjek popular yang dibincangkan samada positif atau pun negatif.

PAS selain daripada menjadi subjek popular warga siber, juga tetap menjadi mandraguna stesyen TV, radio dan media cetak di zaman kerajaan Perikatan Nasional. PAS berada dalam koalisi besar pemuafakatan pentadbiran negara, dengan sedikit kesilapan sahaja maka akan menatijahkan kesan yang besar. Ucapan dan tulisan pimpinan PAS ditunggu dalam apa jua situasi untuk dilencongkan atau dimanfaatkan.

Muktamar PAS di zaman siber ini, bahkan zaman di serambi kuasa ini, walaupun jauh berbeda dengan puluhan tahun yang lampau, namun aspirasinya tetap sama iaitu membedah organisasi dalam tempoh penggal setahun. Muktamar bukanlah medan untuk mengampu pemimpin, mengkultuskan tokoh dan klik dewaan, juga bukan medan membaling kerusi seperti yang terjadi kepada parti konvensional yang lain. Watak dan karektor PAS sebagai gerakan Islam tidak boleh berubah walaupun pendekatannya boleh luwes dan anjal.

Muktamar PAS bukan sahaja medium Presiden untuk mentarjih perjalanan harakatul ummah ini melalui ucapan dasar Presiden kali ini yang bertajuk ‘ Islam Memperkukuh Perpaduan’. Ruang ini juga para perwakilan akan menilai keupayaan pimpinan pusat yang telah mereka lantik pada muktamar lepas di Kuantan. Pandemik yang melanda negara dan mendunia ini sedikit sebanyak merencatkan aktiviti PAS di semua peringkat, sejak bulan Februari, seterusnya PKP bermula 18 Mac tahun ini wabak Covid-19 menggerhanakan pergerakan amilin PAS.

Muktamar juga adalah medan membedah organisasi melalui laporan muktamar, sejauh mana lajnah-lajnah berperanan yang melambangkan kompetensi seseorang pimpinan pusat mengurus amanah. Menjadi pimpinan bukan semata-mata dengan daya tarikan skill pengucapan awam tetapi kebijakan menggerakkan organisasi dan portfolio yang diamanahkan.

Muktamar kali ke-66 ini adalah muktamar terakhir sebelum PRU-15, perwakilan mestilah melontarkan idea-idea yang baik, berseberangan idea dengan pimpinan bukanlah satu dosa di gelanggang muktamar. Berhujahlah dengan penuh fakta dan berisi, bukan membazirkan masa pendengar yang sangat berharga.

Semoga usai muktamar ini, maka semangat serta energi kita bertambah dan pengaruh kita merambah, genggamlah tangan berpadu tenaga, berderapan kita melangkah gagah dijalan juang yang berkah ini. ‘Islam memperkukuh perpaduan’, kitalah anak-anak panah Islam yang akan merealisasikan ucapan dasar Tuan Guru Presiden. Ayuh!

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Penulis ialah AJK PAS Pusat dan Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 13/9/2020

- Advertisement -