Kerja pilihan raya bukan hanya pada semangat – TG Hadi

Foto RIZAL TAHIR
- Advertisement -

KOTA BHARU: Jangan hanya sekadar menjadi ahli tanpa melakukan kerja, atau menubuhkan cawangan tanpa bergerak, demikian nasihat Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang kepada ahli-ahli PAS.

Menurutnya, ahli PAS perlu faham bahawa kerja pilihan raya bukan semata-mata semangat untuk bertanding kerusi yang banyak sahaja, tetapi ia juga memerlukan persediaan untuk menang sehingga negara diperintah mengikut acuan Islam.

- Advertisement -

Tambah Ahli Parlimen Marang itu, kerja-kerja seperti meningkatkan jumlah ahli, cawangan dan penyokong, serta pengukuhan Wahdah Ummah bersama Islam hendaklah diusahakan di tempat masing-masing.

Kata Tuan Guru Abdul Hadi begitu juga dengan usaha memperbanyakkan tempat dan lapangan bagi memenangi kerusi sebanyak mungkin.

“Jangan hanya sekadar menjadi ahli tanpa melakukan kerja, atau menubuhkan cawangan tanpa bergerak.

“Jangan sekadar meletakkan calon tanpa mempersiapkan cawangan, jentera dan petugas yang berkemampuan untuk melakukan kerja pilihan raya bagi mencari dan mendapat undi seramai mungkin, bukannya meramaikan musuh,” pesan Tuan Guru Abdul Hadi berhubung persediaan ahli PAS untuk berdepan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Ucapan Dasar Presiden PAS di Muktamar PAS kali ke-66, di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK), di sini, hari ini.

Sebagai rekod, Muktamar PAS kali ke-66 dilakukan secara ringkas dan berlangsung tanpa kehadiran pemerhati serta dilangsungkan secara dalam talian. – HARAKAHDAILY 13/9/2020

- Advertisement -