PH punca anti-Islam cabar Islam

Foto RIZAL TAHIR
- Advertisement -

KOTA BHARU: Semua pihak telah menyaksikan kelemahan peranan Islam dalam kerajaan PH sehingga kumpulan pelampau anti-Islam berani bersuara untuk mencabar Islam dan umatnya serta menghanyutkan orang Islam yang leka dan bebal.

Demikian tegas Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika berucap dalam Ucapan Dasar Muktamar PAS ke-66 yang berlangsung di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK), di sini, hari ini.

- Advertisement -

Menurut beliau, kesedaran dan kebangkitan telah menyatukan mereka yang peka dalam semua parti, NGO Islam dan kalangan bukan Islam yang tidak ekstrem kerana konsep masyarakat majmuk tidak dapat ditangani dengan pendekatan liberal dan pragmatik sekular.

Katanya, PAS berpijak di atas landasan akidah Islam sebagai ad-deen dan mentafsirkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dalam perlembagaan dan diberikan hak kepada agama lain mengikut perlembagaan.

Mengulas lanjut, perlembagaan berkenaan termasuk jaminan hak istimewa orang Melayu yang sinonim bersama Islam.

Dalam pada itu katanya, mereka yang peka dengan pendekatan yang sangat negatif itu, tetap mencintai perpaduan dan keharmonian bermasyarakat majmuk supaya kembali semula kepada landasan yang betul dan beristiqamah.

“Marilah kita bersatu padu dalam gabungan parti politik yang dibentuk sekarang bagi menghadapi PRU-15 dengan bersedia untuk menang dan mengisi kemenangan dengan membentuk kerajaan yang lebih kukuh.

“Begitu juga kerajaan yang mendapat sokongan majoriti rakyat secara langsung dengan dikembalikan kepada mereka melalui pilihan raya umum, persediaan mengisi kemenangan dengan menyediakan pasukan calon yang berwibawa bagi memandu masa depan negara yang akan menghadapi cabaran yang lebih besar dan lebih mencabar dari segi politik, ekonomi dan budaya,” katanya.

Bagaimanapun katanya, disebabkan kesan daripada kegagalan ideologi Timur dan Barat serta wabak pandemik Covid-19 yang melumpuhkan segala kegiatan dan pergerakan, perlu untuk memanfaatkan sumber tenaga dan kepakaran manusia serta hasil perut bumi di tanah air sendiri.

Katanya, persediaan sumber manusia amat perlu melalui sistem pendidikan holistik yang merangkumi unsur jasadi, rohani dan aqli, termasuk mengatur konsep media yang bermoral dan kemajuan teknologi terkini.

Begitu juga perancangan ekonomi yang menghasilkan peluang pekerjaan dan menjana hasil keperluan negara yang mencukupi, serta memperkasakan kehebatan undang-undang dengan memperkenalkan syariat Islam yang sempurna.

Tambahan lagi, menyediakan jentera kerajaan dan pasukan yang mewujudkan keselamatan dan keamanan negara yang hebat, katanya. – HARAKAHDAILY 13/9/2020

- Advertisement -