Jentera perlu lunas syarat kemenangan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyeru jenteranya bersedia melunaskan syarat-syarat untuk mencapai kemenangan sebagaimana dijanjikan oleh Allah SWT menerusi firmannya di dalam Surah al-Ma’idah ayat 54 hingga 55.

Jelasnya, Allah SWT telah menetapkan lima ciri-ciri kumpulan (parti) yang menegakkan agama Islam.

- Advertisement -

“Pertama; mencintai Allah dan Rasul iaitu berkonsepkan Islam secara menyeluruh, kedua; sikap merendah diri kepada saudara seagama dan hebat menghadapi musuh Islam, ketiga; sanggup berkorban diri dan harta benda iaitu konsep jihad yang dilaksanakan bersama amal tarbiah melalui tafaqquh fi al-din.

“Keempat, memberikan kesetiaan kepada Allah dan Rasul secara mutlak dalam konsep berwala’; dan yang terakhir berwala’ kepada kepimpinan yang beramal dengan Islam.

Ujarnya, konsep berwala’ tersebut perlu dilaksanakan melalui proses tarbiah dan bai’ah yang melibatkan pelbagai peranan golongan di dalam parti.

“Maka di sini terletaknya peranan dewan-dewan, lajnah dan program tarbiah secara khusus yang wajib disalurkan ke dalam jentera parti oleh Dewan Ulama’, Dewan Muslimat, Dewan Pemuda dan Dewan Himpunan Pendukung PAS. Peranan ini hendaklah diturunkan pula ke seluruh peringkat negeri, kawasan, Dun dan cawangan.

“Semua peringkat perlu mewujudkan jentera penerangan dan dakwah yang sistematik agar maklumat sampai ke sasarannya, dengan mengikuti peningkatan teknologi maklumat yang pesat dan semasa, serta pendekatan berhikmah.

“Lajnah-lajnah perlu bergerak mengadakan hubungan dengan semua lapisan masyarakat, melalui kebajikan, hubungan dengan NGO Islam dan bukan Islam, demi membela nasib rakyat dan menyelesaikan segala permasalahan masyarakat termasuklah di bandar, luar bandar, dan penempatan Felda,” ujarnya.

Tuan Guru Abdul Hadi berkata semua perkara tersebut adalah penting dalam pendekatan untuk mendepani secara aman dan damai yang menjadi keutamaan dalam gerak kerja Islam.

Ujarnya ia selaras dengan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) ke arah menegakkan Islam yang sinonim dengan konsep demokrasi yang terus menjadi pendekatan PAS.

Beliau yang juga merangkap Duta Khas ke Timur Tengah berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden PAS, di Muktamar PAS kali ke-66, di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK) di sini, hari ini. – HARAKAHDAILY 13/9/2020

- Advertisement -