DPPM perlu giat usaha dekati anak muda

Foto RIZAL TAHIR
- Advertisement -

PENGKALAN CHEPA: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyeru Dewan Pemuda PAS mempergiatkan pendaftaran ahli baharu dalam kalangan anak muda sebagai persiapan menghadapi PRU-15.

Memandangkan golongan muda antara penentu kemenangan PAS dan kerajaan Perikatan Nasional (PN), masa akan datang, Tuan Guru Abdul Hadi mahu usaha mendekati anak muda diperhebatkan.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan pidato khas pada Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia ke-61 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), di sini hari ini.

Tuan Guru Abdul Hadi juga membuat lawatan khas ketika muktamar pemuda sedang berlangsung petang ini.

Katanya, jumlah pengundi muda di seluruh negara begitu besar.

“Dewan Pemuda mesti memainkan peranannya untuk mendekati mereka,”ujarnya.

Tuan Guru Abdul Hadi bagaimanapun melahirkan rasa sedih kerana masih ramai dalam kalangan umat Islam tidak peka terhadap politik negara

Jelasnya, kejayaan PN mentadbir negara dalam suasana tenang perlu diingat kerana situasi itu telah menyelamatkan kedudukan negara dari pihak tidak bertanggungjawab.

Tambahnya, walaupun negara dalam keadaan selamat berikutan rakyat memberi sokongan penuh pada kepimpinan kerajaan, namun usaha untuk mempertahankannya mesti dilakukan dengan lebih agresif. – HARAKAHDAILY 12/9/2020

- Advertisement -