Ulamak lulus usul kriteria calon hadapi PRU-15

MACHANG: Dewan Ulamak PAS Pusat meluluskan usul berkaitan kriteria calon bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dan memperkasakan Muafakat Nasional (MN).

Usul kriteria calon dikemukakan wakil Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan dan disokong Dewan Ulamak PAS Perak.

Advertisement

Usul tersebut antara lain menyebut calon yang akan dipilih mewakili MN pada PRU akan datang hendaklah bebas rasuah dan tidak mempunyai rekod buruk.

Wakil Perak yang menyokong usul tersebut turut mencadangkan calon yang tidak mempunyai pendidikan asas bidang agama wajar mengikut kursus jangka pendek di Institut Latihan dan Perkaderan (ILHAM).

Usul memperkasakan MN pula dibentang Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat Ustaz Nor Hamzah dengan menekankan strategi satu lawan satu pada PRU akan datang.

Beliau juga berkata, ahli serta penyokong PAS dan Perikatan Nasional disaran jangan mudah terpengaruh dengan dakyah pihak lawan yang berterusan berusaha memecah belah MN dan PN.

“Jangan mudah terpedaya dengan isu dimainkan PH yang sentiasa berusaha memastikan PN dan MN retak,” katanya.

Muktamar Dewan Ulamak melabuh tirai tepat jam 2 petang tadi sebagai memenuhi SOP ditetapkan bagi mengelakkan penularan Covid-19. – HARAKAHDAILY 12/9/2020