TVET perlu hala tuju jelas, konsisten – NUTP

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) merayu kepada Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin untuk melihat kembali dasar Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) negara serta merangka strategi hala tuju TVET yang lebih jelas dan konsisten.

Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock berkata dalam konteks itu, inisiatif untuk melatih pelajar mahir dalam pelbagai bidang teknikal dan vokasional pada masa muda terutama golongan pelajar Tingkatan Tiga adalah sangat penting.

“Ini kerana mereka bakal memacu dan meneruskan kegemilangan negara pada masa hadapan. 

- Advertisement -

“Saat inilah kita perlukan perancangan rapi supaya hasil kelulusan pelajar TVET seperti PIMA (Perantisan Industri Menengah Atas), PVMA (Program Vokasional Menengah Atas) dan Kolej Vokasional dapat mengurangkan pergantungan negara terhadap sumber tenaga kerja asing pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sementara itu, Tan berkata NUTP amat menyokong artikel yang disiarkan Berita Harian pada 24 Ogos lalu bertajuk ‘Perkasa TVET Pertanian Dalam Sistem Pendidikan’ hasil penulisan Pensyarah Kanan, Jabatan Pendidikan Sains dan Teknikal, Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia Dr Muhd Khaizer Omar.
 
Katanya TVET Pertanian perlu dirai sebagai bidang yang boleh menjana kelestarian ekonomi negara dan wajar diangkat sebagai agenda terpenting dalam sektor pendidikan negara sesuai dengan ekosistem sosial dan persekitaran yang semakin mencabar.

Selain itu menurut Tan, NUTP berharap Menteri Pendidikan menekankan supaya pelajar bidang TVET khasnya teknikal dan kejuruteraan perlu diberi keutamaan.

“Dalam era Industri Revolusi 4.0, penggunaan teknologi dan automasi akan lebih canggih dan negara akan ketinggalan dari segi teknologi sekiranya tidak dibuat penambahbaikan dengan segera terhadap TVET di Malaysia,” katanya.

Tan berkata NUTP juga menyarankan supaya pendidikan teknologi seperti automotif, pemesinan, pendingin hawa atau mana-mana bidang yang membolehkan rakyat Malaysia ke arah berpendapatan tinggi perlu diberi fokus utama. – BERNAMA

- Advertisement -