Tiada elemen gengsterisme isu ceroboh tanah Raub

KUANTAN: Tiada pembabitan kumpulan kongsi gelap dalam isu penerokaan tanah yang didakwa secara haram oleh pekebun durian Musang King di daerah Raub, kira-kira 233 kilometer dari sini, kata Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan.

Mengesahkan perkara itu, beliau berkata banyak pertanyaan diterima polis berhubung kemungkinan wujudnya unsur gengsterisme dalam isu berkenaan termasuk jika ada pihak yang terlibat diugut anggota kumpulan gelap.

“Saya ingin mengesahkan bahawa tiada satu pun laporan yang diterima setakat ini berkaitan ugutan atau jika ada pihak yang dipengaruhi atau dikatakan dinasihati oleh kumpulan gengster sehingga menimbulkan ketakutan dalam diri mereka.

Advertisement

“Saya menasihatkan mana-mana pihak untuk membuat laporan polis jika berlaku kejadian yang tidak sepatutnya dalam isu itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan 30 unit kereta peronda baharu Honda Civic 1.8s kepada semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Pahang.

Abd Jalil juga berkata setakat ini, terdapat beberapa badan bukan kerajaan (NGO) hadir ke balai polis bagi menyuarakan ketidakpuasan hati mereka dalam isu tersebut, namun tiada laporan polis dibuat.
 
Isu penerokaan tanah bagi penanaman durian Musang King bermula selepas kerajaan negeri Pahang mula menguatkuasakan notis pengosongan tanah pada awal Ogos lalu terhadap mereka yang didakwa membuka kebun secara haram.

Bagaimanapun, operasi penguatkuasaan itu kini ditangguhkan sementara menunggu keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan terhadap permohonan bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman yang difailkan 111 pekebun terlibat yang akan didengar 28 Oktober ini. – BERNAMA