Husam gagal batal penghakiman saman fitnah KPK

- Advertisement -

KOTA BHARU: Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini menolak permohonan Naib Presiden PAN Dato’ Husam Musa untuk membatal penghakiman yang membenarkan tuntutan saman fitnah oleh Kompleks Perkayuan Kelantan (KPK).

Peguam KPK Wan Muhammad Hafiz Wan Zawawi berkata, permohonan pemimpin terbabit untuk mengenepi dan membatalkan penghakiman saman fitnah KPK terhadap kenyataan yang diterbitkan Husam melalui Facebook dan ceramahnya ditolak dengan kos RM3,000.

- Advertisement -

“Sebelum ini Mahkamah Tinggi mengarah Husam membuat permohonan maaf di akhbar dan membayar ganti rugi kepada KPK berkait kenyataan palsu di Facebook serta ceramahnya,” katanya di sini.

Kes tersebut dikendalikan di hadapan Hakim Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh. Manakala Husam diwakili peguam Vankedesh daripada Zayumi Murtadza & Co.

KPK diwakili peguam Wan Muhammad Hafiz dan Aimi Shazwani Yaakob daripada Tetuan Afifah, Wan & Aimi Shazwani.

Pada 2017 pemimpin PAN terbabit dalam ceramah dan posting Facebook mendakwa KPK melanggar hak Orang Asli (menceroboh tanah Orang Asli di Gua Musang).

Husam juga mendakwa dan menyebarkan kononnya KPK telah ditutup dan berlaku penyelewangan dalam syarikat terbabit.

Berikutan itu KPK memfailkan tindakan fitnah terhadap Husam kerana tanah yang didakwa diceroboh tersebut bukan dalam konsesi KPK.

KPK juga tidak pernah ditutup malah masih beroperasi sehingga sekarang dan tidak berlaku sebarang penyelewengan dalam urusan dan pentadbirannya. – HARAKAHDAILY 8/9/202F

- Advertisement -