Lagi tukun akan dilabuhkan Kerajaan Terengganu

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu akan melabuhkan 16 tukun lagi pada hujung bulan ini bagi membantu memperkayakan sumber hasil laut di negeri terbabit.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa Negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, tukun konkrit seberat kira-kira 16 tan bagi setiap unit itu sudah siap dibina di Pulau Kambing di sini.

Insya-Allah program labuh tukun akan dilaksanakan pada akhir September ini di Perairan Benting Lintang, Besut dan Perairan Kuala Ibai, Kuala Terengganu.

“Untuk tahun ini, sebanyak RM500 ribu diperuntukan bagi program tukun melibatkan RM300 ribu peruntukan kerajaan negeri manakala bakinya daripada Kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan Negeri terus komited menyalurkan peruntukan bagi memperkayakan lagi sumber hasil laut kita. Di samping berfungsi sebagai rumah ikan, tukun seberat 16 tan ini juga akan menjadi penampan bagi kegiatan pukat tunda,’’ ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan Lawatan ke Tapak Bina Tukun di Pulau Kambing dan Program Pemantauan Unjam di Kuala Ibai, di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau turut turun melihat dan memantau keberkesanan unjam yang telah dilabukan di Kuala Ibai bersama Jabatan Perikanan sebelum ini.

“Setelah dua minggu berlalu tempoh masa unjam dilabuhkan di Perairan Chendering, kita buat pemantauan dan ujian untuk mengenalpasti kewujudan spesis ikan yang mula menghuni unjam tersebut.

“Pemantauan ini penting bagi melihat sejauh mana keberkesanan program labuh unjam dalam meningkatkan hasil tangkapan nelayan,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 8/9/2020

- Advertisement -