Parti politik perlu pertahan perpaduan kaum

Foto RIZAL TAHIR
- Advertisement -

PENGKALAN CHEPA: Menteri Perpaduan Negara Dato’ Halimah Mohamad Sadique berharap semua pihak termasuk parti-parti politik di seluruh negara menjaga perpaduan antara kaum di negara ini yang sudah lama wujud.

Katanya, perpaduan antara kaum di negara ini dalam keadaan baik, namun pimpinan parti politik, anggota-anggota Parlimen dan rakyat pelbagai kaum perlu membantu kerajaan dalam menjayakan agenda perpaduan nasional.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas majlis perasmian Sesi Maklum Balas Rakyat berhubung Draf Pelan Tindakan Perpaduan Negara (PTPN) 2021-2025.

Program berkenaan dirasmikan Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob yang diadakan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini semalam.

“Kajian sebelum ini dibuat mengenai pelbagai etnik dan alhamdulillah perpaduan rakyat berbilang kaum didapati cukup baik,” ujarnya.

Namun tambahnya, usaha berkenaan perlu disokong oleh semua pihak bagi menjayakan hasrat tersebut.

Jelasnya, kerajaan tidak mahu pihak tertentu mengambil kesempatan untuk memecah-belahkan perpaduan kaum di negara ini jika tidak dijaga dengan baik. – HARAKAHDAILY 7/9/2020

- Advertisement -