Suasana harmonis kekal di Kelantan

Foto RIZAL TAHIR

PENGKALAN CHEPA: Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob melahirkan rasa syukur suasana harmoni di negeri itu kekal sehingga sekarang.

Katanya, keharmonian dipelihara dengan pelbagai pendekatan dan program sehingga rakyat Kelantan menikmati keamanan dengan penuh kerukunan dalam masyarakat majmuk.

Advertisement

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pelancaran Sesi Maklum Balas Berhubung Deraf Plan Tindakan Perpaduan Negara 2021 – 2025.

Majlis itu diadakan di Dewan Keusahawanan UMK, Kampus Kota Pengkalan Chepa, dekat sini semalam.

Hadir sama pada majlis itu Menteri Perpaduan Negara Dato’ Seri Halimah Mohamad Sadique, anggota Exco kerajaan negeri, Mejar (B) Dato’ Md Anizam Abd Rahman dan pegawai kanan kerajaan.

Menteri Besar berkata, rakyat pelbagai kaum perlu mengambil tanggungjawab untuk memberi maklum balas kepada kerajaan berhubung pelan berkenaan.

“Alhamdulillah, syabas saya ucapkan kepada Kementerian Perpaduan Negara di atas inisiatif pelaksanaan sesi maklum balas rakyat yang mengumpul pandangan rakyat berhubung draf Pelan Tindakan Perpaduan Negara (PTPN) 2021-2025.

“Saya juga dimaklumkan sesi maklum balas rakyat seperti ini belum pernah dilaksanakan,” ujarnya.

Ahmad berharap dengan kaedah itu kementerian perpaduan dapat mengambil berat tentang masalah rakyat di seluruh negara.

Kata beliau input dan pandangan rakyat dalam pelaksanaan teras-teras PTPN yang akan membantu merealisasikan agenda perpaduan nasional. – HARAKAHDAILY 7/9/2020