KPM usaha bantu pelajar miliki peranti

TAMBUNAN: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang mengenal pasti pendekatan lebih holistik dan komprehensif bagi mengatasi kekangan pemilikan peranti elektronik dalam kalangan pelajar untuk memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dalam talian di rumah berjalan lancar pada masa akan datang.

Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin berkata kaji selidik KPM berhubung pembelajaran dalam talian melibatkan 900,000 pelajar di seluruh negara mendapati sebanyak 36 peratus daripadanya tidak mempunyai sebarang peranti elektronik.

“Masih terlalu ramai pelajar yang tidak mempunyai sebarang peranti elektronik untuk digunakan dalam konteks pembelajaran di rumah termasuk pembelajaran secara dalam talian. 

Advertisement

“Atas sebab itu, kami di KPM sedang melihat secara holistik pendekatan terbaik bagi membolehkan para pelajar mendapat akses sewajarnya sekali gus melaksanakan satu sistem menyeluruh yang dapat memberi manfaat optimum kepada golongan terbabit,” katanya.

Radzi berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Kupi-Kupi bersama warga pendidik, ibu bapa dan para pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nambayan di sini, semalam.
 
Turut hadir Pengarah Pendidikan Sabah, Dr Mistirine Radin dan Pengetua SMK Nambayan Soffrie Aniar Abdullah.

Terdahulu, ketika berucap pada majlis itu, Radzi berkata KPM juga komited untuk memberi penekanan terhadap pembangunan infrastruktur pendidikan di Sabah termasuk menaik taraf bangunan sekolah memandangkan masih banyak sekolah daif di negeri ini.

Justeru, KPM akan menyusun senarai bangunan sekolah daif terbabit bagi melihat keutamaan untuk menyegerakan kerja-kerja naik taraf berdasarkan penilaian Jabatan Kerja Raya, katanya.

Beliau juga mahu Jabatan Pendidikan Sabah, guru-guru dan ibu bapa menyokong setiap usaha dilaksanakan kementerian, kerana menurutnya, kerjasama erat antara semua entiti akan mampu membentuk ekosistem pendidikan yang lebih baik.

Pada majlis itu, Radzi turut menyampaikan replika cek bernilai RM91,800 untuk tujuan elaun murid berkeperluan khas 2020 Fasa Dua (Julai – Disember 2020) kepada Pejabat Pendidikan Daerah Tambunan.

Beliau turut menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama warga sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Tambunan di SMK Tambunan. – BERNAMA