PN: Titik persamaan selamatkan negara

- Advertisement -

MARANG: PAS menafikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang memerintah negara ini mempunyai kerjasama yang ‘longgar’, sebaliknya bersifat ‘fleksibel’.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, kerajaan PN tiada krisis seperti yang berlaku dalam Pakatan Harapan (PH).

- Advertisement -

Bahkan, katanya rakyat melihat Pakatan Harapan bergaduh sesama sendiri ketika dalam kerajaan mahupun di luar kerajaan.

“Kita bukan ‘longgar’ (tapi) ‘fleksibel’. Kita (PN) tidak krisis macam PH. PH bergaduh sesama sendiri. Masa dalam kerajaan dia (PH) bergaduh, di luar kerajaan pun bergaduh. Rakyat tengok semua.

“Kita fleksibel iaitu mempunyai pendekatan berbeza tetapi ada titik persamaan. Titik persamaan kita (PN) hendak selamatkan negara,” tegasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Menteri Kewangan Malaysia, Dato’ Sri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, di Pejabat Naib Ketua Kesatuan Ulamak Islam Sedunia, Rusila, Marang, semalam.

Kata Dato’ Seri Abdul Hadi, kerajaan PN masih boleh bertahan walaupun dengan majoriti yang kecil setelah ada usaha menjatuhkannya.

Ketika ditanya, cadangan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman mahu menubuhkan parti untuk orang muda, kata Ahli Parlimen Marang itu sesiapa sahaja boleh menubuhkan parti dalam negara demokrasi.

“Kita (Malaysia) negara demokrasi bebas buat parti. Ikut peraturan dia tidak menyalahi undang-undang,” jelasnya.

Menjawab persoalan adakah parti baharu Syed Saddiq itu kelak mempunyai masa depan, kata Ustaz Abdul Hadi, beliau tidak tahu meramal perkara yang akan datang.

“Itu masa akan datang, saya tidak tahu. Itu masa depan (ketawa), Cuma (semua) orang muda jadi tua. Bila dia tua nak jadi parti apa pula (ketawa),” ujarnya dengan nada seloroh. – HARAKAHDAILY 6/9/2020

- Advertisement -