Arwah amilin aktif dan diketahui rajin bersedekah

SUBANG JAYA: Skuad Prihatin Muslimat PAS Malaysia telah menemui keluarga pasangan amilin PAS yang maut akibat kemalangan dengan berkunjung ziarah ke kediaman mereka di Bukit Lanchong, di sini petang kelmarin.

Advertisement

Mangsa, Saimah Khailani, 63 tahun meninggal dunia bersama cucunya, Nur Zarra Hanna Mohd Zaidi, dalam kemalangan jalan raya di Pelabuhan Klang baru-baru ini.

Manakala suaminya, Abdul Samat Mat Isa yang memandu kereta tersebut turut menyusul pulang ke rahmatullah selepas bertarung nyawa di hospital akibat kecederaan parah dialami.

Tragedi ini meruntun hati anak mereka yang tinggal serumah iaitu Mohd Zaidi Abdul Samat bersama isterinya, Siti Ruqayyah Muhammad Rom serta seorang lagi cucu arwah, Nur Zarra Aishaa Mohd Zaidi.

Rombongan Muslimat PAS Malaysia ini dipimpin Ketua Muslimat, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh bersama Pengerusi As-Sabiqat, Khadijah Mahmud dan Timbalan Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan, Zurina Din.

Ziarahi ke atas keluarga ini sebagai menyuntik kekuatan buat mereka yang diuji dengan dugaan berat ini, selain untuk menyampaikan sedikit sumbangan kepada keluarga arwah.

Kedua-dua arwah merupakan amilin PAS yang sangat aktif berkhidmat dalam aktiviti politik dan cukup gemar bersedekah, malah pernah menerima anugerah Tokoh Istiqamah oleh Dewan Muslimat PAS Kawasan Kota Raja pada tahun lalu.

Mereka juga dikenali dengan komitmen kepada majlis ilmu kerana sentiasa menghadiri mana-mana masjid ataupun surau yang diimarahkan dengan ceramah agama dan akan duduk bertalaqqi di barisan hadapan.

Jiran mereka turut menceritakan kewarakan almarhumah dan suaminya yang gemar bangun seawal 4 pagi dan akan terdengar pasangan ini mengalunkan bacaan al-Quran.

Lebih mengharukan, Ketua PAS Cawangan Bukit Lanchong, Mahadi Abu Bakar, menceritakan bahawa anak lelaki arwah menyerahkan sejumlah wang infaq yang dikumpul pasangan tersebut bagi tabung PRU15.

Tambah beliau, pasangan ini adalah yang pertama menyerahkan sumbangan bagi tabung PRU15, selain istiqamah menghulurkan sedekah untuk masjid walaupun tidak dapat hadir ke masjid semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

Kemuliaan amalan mereka tidak hanya terhenti di situ, di mana menurut Ahli Jawatankuasa Yayasan Amal Malaysia, Ustaz Fakrurazi  Hussin, pasangan ini menabung RM2 sehari untuk melakukan ibadah korban di luar negara.

Menurutnya, pada setiap tahun, pasangan ini menyerahkan RM700 yang menjadikan jumlah itu layak mendapat dua bahagian bagi melaksanakan ibadah korban disertai mereka.

Bukan itu sahaja, dimaklumkan pasangan ini tidak melepaskan peluang untuk memberi infaq dalam projek pembinaan sebuah tahfiz di Puchong. – HARAKAHDAILY 6/9/2020