Dr Kamil sertai PAN nak dakwahkan PAN

- Advertisement -

DI KELANTAN hari ini ada ‘Majlis Pengisytiharan Tokoh Ulamak Sertai PAN’ di mana Tokoh Ulamak yang menyertai PAN ini ialah Dr Mohamad Kamil Abdul Majid, mantan pensyarah di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, yang berasal dari Kampung Kayu Rendang, Kota Bharu.

Kemasukan Dr Kamil Majid ke dalam PAN ini rupa-rupanya dianggap sebagai satu peristiwa besar oleh orang-orang PAN malah disaksikan sendiri oleh tokoh-tokoh besar PAN seperti Datuk Husam Musa, Dato Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dan Khalid Samad.

Pelik juga bila Dr Kamil Majid menyertai komponen PH sedangkan beliau sebelum ini mengkritik PH dengan umpamanya berkata: “Nampak masing-masing geng PH ini duk kira kepentingan diri masing-masing. Apa beza dengan PN? Sama-sama berbagi ghanimah fesyennya.”

- Advertisement -

Dr Kamil Majid juga, mengikut Menteri Agama, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, telah diberikan projek ‘penyusunan Tafsir al-Bayan dan penterjemahan Kutub al-Sittah’ selain diberikan projek ‘penyusunan sebuah modul rujukan dalam bidang aqidah’ oleh Kerajaan PN.

Tidak dapat dipastikan apakah yang diharapkan daripada kemasukan adik Prof Emeritus Dato’ Paduka Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid yang sudah uzur (kata beliau, beliau baru kena mild stroke dan sakit buah pinggang), bertongkat dan berusia 70 tahun ini ke dalam PAN.

Kata tokoh-tokoh PAN yang berucap, ia bertujuan untuk membetulkan fahaman yang salah mengenai Islam, memanfaatkan kedudukan beliau selaku seorang anak murid kepada Tok Guru Nik Aziz serta kerana beliau didakwa mempunyai ramai anak murid di seluruh negara.

Begitupun, semua pasti tahu latar belakang beliau adalah dengan ABIM dan dengan posting-posting Facebook beliau seperti “Sepatutnya Rafizi diberi ruang menyumbang dalam kerajaan” dan “Rasa Tun ini macam bermasalah” jelas ke mana hala tuju sokongan Dr Kamil Majid.

Dengan sokongan kuat beliau kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bukan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, tidak pelik jika ada yang berteori bahawa kemasukan Dr Kamil Majid mungkin adalah untuk memperkuatkan pengaruh Datuk Seri Anwar Ibrahim di dalam PAN.

Selain itu, pastilah Dr Kamil Majid akan dijadikan kapak untuk menakir pemimpin PAS dan ini sudah beliau lakukan dalam ucapan beliau hari ini yang menyelar pemimpin PAS kerana ‘asyik duk kafirkan orang, asyik duk fasiqkan orang, asyik duk bodohkan orang’ dan pelbagai selaran lagi.

Apa pun, tidak banyak yang saya jangka boleh disumbangkan oleh Dr Kamil Majid kepada PAN, malah beliau sendiri sebenarnya menyebut dalam ucapan beliau hari ini bahawa beliau memasuki PAN hanyalah kerana beliau ‘nak berdakwah kepada orang PAN’ sahaja!

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF – HARAKAHDAILY 5/9/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -