Usahawan mahu Kelantan FC bernilai RM500 juta

Foto RIZAL TAHIR
- Advertisement -

KOTA BHARU: Usahawan burger Norizam Tukiman, 39 hari ini secara sah mengambil alih skuad bola sepak Kelantan FC dengan pelaburan keseluruhan berjumlah RM6.8 juta.

Beliau membeli 100 peratus saham anak syarikat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) iaitu Team Red Warriors Sdn Bhd.

- Advertisement -

Pengambilalihan itu dimateraikan antara Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) dan Norizam menerusi program Majlis Penswastaan Kelab Bola Sepak TRW Kelantan FC di sebuah hotel di sini.

Norizam berkata, antara peranan utamanya sekarang menyelesaikan tunggakan gaji pemain, pegawai dan kakitangan KAFA dalam tempoh terdekat.

Katanya dengan pemilikan baharu TRW diharap dapat memuktamadkan isu berkaitan perlesenan The Red Warriors bagi mengharungi saingan Liga Malaysia musim depan.

“Bagi peringkat pertama saya mengeluarkan dana sebanyak RM3 juta secara tunai dan RM3.8 juta lagi sebelum hujung tahun ini.

“Ia sebagai langkah awal untuk mengeluarkan pasukan TRW daripada kemelut kewangan. Niat saya ikhlas tidak mahu masalah tunggakan gaji membelenggu pasukan,” katanya pada majlis tersebut.

Menurutnya juga pemain tidak perlu lagi memikirkan soal gaji dan mereka hanya fokus kepada permainan.

Katanya juga beliau sedia melabur dalam TRW walaupun tahu prestasi pasukan itu tidak menentu kebelakangan ini.

Norizam juga berkata, selain menyelesaikan isu gaji dan lesen, beliau menyasarkan menjadikan pasukan Kelantan FC bernilai RM500 juta hingga RM1 bilion dalam tempoh 10 tahun akan datang. – HARAKAHDAILY 3/9/2020

- Advertisement -