10,000 Langkah hayati erti kemerdekaan

- Advertisement -

TELUK INTAN: Dewan Muslimat PAS Kawasan Teluk Intan telah menganjurkan program 10,000 Langkah sempena memeriahkan Hari Kemerdekaan Ke-63 di Taman Aman Kampung Bahagia, di sini kelmarin.

- Advertisement -

Acara berbentuk riadah ini mendapat kerjasama dari PAS Cawangan Kampung Bahagia dan KRT Taman Aman telah bermula dengan acara riadah memanaskan badan di Padang Dewan PERTAMA Taman Aman Kampung Bahagia.

Pelepasan peserta yang disempurnakan oleh Naib Yang Di Pertua PAS Teluk Intan, Azhar Rafie ini disertai seramai hampir 60 peserta terdiri dari Muslimat, Ameerah dan NGO Wanita Islam (WI) dari pelbagai peringkat umur.

Mereka berjalan sejauh hampir 3 kilometer mengelilingi kawasan perumahan tersebut, sambil menyerahkan bendera Jalur Gemilang dan kad ucapan Hari Kebangsaan kepada penduduk yang ditemui.

Ketua Muslimat PAS Teluk Intan, Robi’atun Mohd Abas berkata, acara ini merupakan agenda tahunan bertujuan untuk membangkitkan semangat cinta negara dan menghargai nikmat kemerdekaan yang telah dikecapi sejak 63 tahun lalu.

“Selain memupuk ukhwah bersama masyarakat setempat program sebegini boleh menaikkan imej PAS sebagai sebuah gerakan Islam yang cakna terhadap penghayatan kemerdekaan negara,” katanya lagi.

Ahli Majlis Perbandaran Teluk Intan, Hamisah Abas dalam ucapannya menyebut betapa pentingnya sejarah kemerdekaan negara ini dihayati dan ditanam dalam minda seluruh rakyat Malaysia supaya dipertahankan.

Katanya lagi, kaum ibu adalah golongan yang bertanggungjawab menerap semangat cintakan negara ke dalam diri anak-anak mereka agar generasi akan datang tidak terpesong melakukan tindakan yang mengakibatkan tergadainya tanah air ini kepada kuasa asing.

Azhar yang berucap di perasmian penutup program hari itu telah mengaitkan sambutan Hari Kebangsaan kali ini dengan sambutan Awal Muharam.

“Rasulullah berhijrah bagi membebaskan para Muhajirin dari belenggu jahiliyah. Maka kita hari ini sewajarnya perlu berhijrah dari belenggu perhambaan terhadap harta benda kepada kepada penghambaan secara mutlak kepada Allah dan seluruh sistem syariat-Nya,” ujarnya.

Beliau juga mengingatkan supaya seluruh masyarakat menjaga diri dan keluarga dari wabak COVID-19 yang masih melanda dengan mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan. – HARAKAHDAILY 3/9/2020

- Advertisement -