PAS Temerloh bina rumah warga emas

- Advertisement -

TEMERLOH: Hasrat seorang warga emas, Kadijah Bakar untuk memiliki kediaman sendiri tercapai apabila PAS Kawasan Temerloh  menghadiahkannya sebuah rumah baru-baru ini.

- Advertisement -

Kadijah, 60, sejak berkahwin dengan suaminya pada tahun 1985 telah menetap di Kampung Sanggang Seberang, di sini.

Pun begitu, masalah mula timbul setelah kematian suami sejak 10 tahun yang lalu, apabila tuan tanah dikatakan meminta beliau dan lima anak berpindah ke lokasi lain.

Masalah dan hasrat Kadijah untuk memiliki sebuah rumah itu bagaimanapun telah sampai ke pengetahuan Yang DiPertua PAS Temerloh, Md Jusoh Darus.

Dengan persetujuan Jawatankuasa Kerja PAS Temerloh, sebuah rumah dilengkapi dengan dua bilik tidur, dapur dan tandas serta bekalan elektrik dan air siap didirikan.

Sebanyak RM23,000 berjaya dikumpulkan hasil sumbangan ahli-ahli PAS Temerloh untuk tujuan pembinaan rumah berkenaan dan majlis penyerahan kunci rumah telah disempurnakan oleh Md Jusoh.

Turut hadir memeriahkan majlis berkenaan ialah ADUN Kuala Semantan, Dato’ Norazmi Md Ludin yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Temerloh,

Juga bersama adalah Setiausaha PAS Pahang, Hasanuddin Salim,  Ahli Jawatankuasa Jawatankuasa Keselamatan Kampung Sanggang Seberang dan pimpinan PAS Temerloh.

Program kebajikan seumpama ini akan diteruskan PAS Temerloh di masa akan datang dan ia sudah pasti memerlukan dana dan sumbangan daripada mereka yang bermurah hati.

Bagi sesiapa yang sudi menghulurkan sumbangan, bolehlah berbuat demikian menerusi akaun 06028010003454 (BIMB) PAS Kawasan Temerloh atau 556057506318 (MBB) Prihatin DUN Kuala Semantan. – HARAKAHDAILY 3/9/2020

- Advertisement -