Kerajaan PN tolak PPSMI, sedia bantuan pendidikan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Program Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sebenarnya telah menjahanamkan serta merugikan ramai pelajar Melayu, demikian kata bekas Pensyarah Universiti Utara Malaysia, Prof Emeritus Dato’ Dr Isahak Haron.

- Advertisement -

Menurutnya, bukan sahaja 80 peratus pelajar Melayu tidak memahami pengajaran subjek berkenaan dalam Bahasa Inggeris, malah menyebabkan prestasi negara dalam peperiksaan antarabangsa merudum teruk, sedang pada tahun 1999 dan 2003 pernah berada dalam 10 terbaik dunia.

Beliau mendedahkan perkara itu dalam Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran PN: ‘Pencapaian, Harapan dan Cabaran’ anjuran Pertubuhan Intelektual Negara di Persatuan Alumni UM Club House, Damansara, di sini semalam.

Bidas beliau, hakikatnya negara selama ini melaksanakan pendidikan secara multi-system iaitu sekolah berasingan, sama ada vernakular mahupun swasta, di mana ia mesti dibaiki menerusi sekolah integrasi dan sekolah kebangsaan untuk semua.

Hal tersebut katanya, sudahpun dicadangkan sejak tahun 1956 lagi menerusi pelbagai Penyata dan Akta tetapi masih berpecah, selain kerajaan juga perlu menambah geran bagi kemudahan prasarana pendidikan serta membaiki kurikulum dan pentaksiran.

Kertas kerja dibentang itu dihasilkannya bersama bekas Pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof Dr Mohd Sahandri Gani Hamzah dan Presiden Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia, Dato’ Abdul Raof Husin.

“Kami merasa lega dan gembira yang Kerajaan PN telah membuat keputusan tidak akan menghidupkan semula PPSMI. Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Menteri Pendidikan pada 2009 telah membuat keputusan bijak supaya PPSMI dibatalkan secara berperingkat-peringkat mulai 2012.

“Kami ingin mengucapkan syabas juga kepada Dr Mohd Radzi Md Jidin, Menteri Pendidikan pada 2020 yang menegaskan bahawa dasar PPSMI tidak akan dilaksanakan kembali,” puji mereka.

Menyoroti pelaksanaan PPSMI setelah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu melihat pelajar ‘lemah’ dalam dua subjek berkenaan, mereka bagaimanapun mendedahkan bahawa kajian dibuat banyak pihak mendapati hasil sebaliknya.
  
Mereka juga menyokong Kerajaan PN menghidupkan semula biasiswa dan bantuan untuk pelajar melanjutkan pengajian ke peringkat pasca-siswazah, Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD), melalui skim MyBrain. – HARAKAHDAILY 2/9/2020

- Advertisement -