Pemuda N9 tawan Gunung Datuk rai Merdeka

- Advertisement -

REMBAU: Jabatan Kesenian, Kebudayaan dan Sukan (DACS) Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan telah mengadakan program Kembara Merdeka 2020 dengan aktiviti pendakian ke Gunung Datuk, di sini semalam.

- Advertisement -

Sempena program ini juga turut diadakan pelancaran rasmi Alternative Trekking Club (ATC) disempurnakan Ketua Pemuda PAS Negeri Sembilan Khairul Yazman Yahya menjadi satu lagi kelab di bawah DACS Negeri Sembilan.

Gunung Datuk mempunyai ketinggian 885 meter ini menjadi pilihan program Kembara Merdeka 2020 kerana cukup mencabar bagi para pendaki di atas faktor muka buminya yang agak curam dan sememangnya popular dalam kalangan pendaki.

DACS Kawasan Rasah telah menjadi penyelaras program kali ini dibantu Jabatan Amal Negeri Sembilan serta Kelab Kembara Hijau Hikers menyelia peserta dari Rasah, Rembau, Tampin, Jempol, Kuala Pilah, Port Dickson, Seremban serta Jelebu .

Program ini juga turut diserikan dengan kehadiran pimpinan PAS Negeri Sembilan antaranya Timbalan Pesuruhjaya, Ustaz Mohd Khairil Anuar Wafa dan Ketua Ulamak, Ustaz Nazri Yusof serta Ketua Penerangan, Badzli Bakar.

Kehadiran mereka menyemarakkan program Kembara Merdeka 2020 kali ini yang merupakan acara kedua seumpamanya di mana sebelum ini program sama pernah diadakan di Gunung Angsi, Kuala Pilah.

Program ini bertujuan menarik golongan belia dan anak-anak muda untuk menyemai rasa cinta kepada negara dan cinta watan disamping membudayakan cara hidup yang sihat serta positif.

Pengisian taujihat telah disampaikan Ustaz Mohd Khairil diikuti acara kibaran Jalur Gemilang dan laungan ‘Merdeka’ yang digemakan para di puncak gunung ini sebagai simbolik kemenangan dalam perjuangan menghadapi cabaran pendakian. – HARAKAHDAILY 31/8/2020

- Advertisement -