Ulamak pencetus semangat kemerdekaan – Idris

- Advertisement -

BUKIT GANTANG: Perjuangan para ulamak yang mendapat pendidikan Islam dari luar negara telah bangkit menzahirkan penentangan terhadap penjajah dan mencetuskan semangat kemerdekaan di Tanah Melayu sejak akhir abad ke-18 lagi.

- Advertisement -

Terutama kalangan yang mengikuti pengajian di Makkah, Mesir, India dan Indonesia, telah  pulang ke tanah air bukan sekadar mencurahkan ilmu, tetapi meniupkan semangat perjuangan kepada bangsa Melayu agar berdiri di atas kaki sendiri serta menjadi umat merdeka.

Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Idris Ahmad berkata, para ulamak terdahulu seperti Syed Sheikh Al-Hadi, Sheikh Tahir Jalaluddin, Tok Kenali, Raja Ali Kelana, Tok Janggut dan ramai lagi menggerakkan ummah yang kelesuan kerana kemiskinan dan sifat rendah diri agar bangun menjadi bangsa yang kuat.

“Serta mengambil alih kembali pemerintahan negara ini setelah dijajah sejak tahun 1511. Anak-anak muda hari ini mesti merenung kembali sejarah silam kerana selama ini diajar bahawa golongan nasionalis sahaja memperjuangkan kemerdekaan.

“Sedangkan fakta yang sebenar para alim ulamak yang merintis jalan kemerdekaan melalui seruan dakwah, penerbitan akhbar, majalah, risalah dan sebagainya,” ujar beliau pada program Ambang Merdeka Ke-63 anjuran Pusat Khidmat ADUN Kuala Sepetang di Kampung Matang, dekat sini semalam.

Tegasnya, golongan muda perlu disemai dengan semangat cintakan agama dan negara serta tidak terpengaruh dengan anasir-anasir yang sering menganggu-gugat kemakmuran Malaysia di mana tidak mustahil negara ini akan kembali terjajah jika leka dibuai nafsu dan keduniaan.

Turut hadir, Orang Besar Jajahan Larut Matang dan Selama, Orang Kaya Menteri Paduka Tuan, Dato’ Wan Mohd Isa Dato’ Wan Mohd Razali, Orang Besar Jajahan Kerian, Orang Kaya Shahbandar Paduka Indera, Ahmad Raziff Dato’ Seri Mohamad Zulkifli, Pegawai Daerah Taiping, Mohamed Akmal Dahalan dan ADUN Kuala Sepetang, Kamarudin Abu Bakar.

Pelbagai pengisian menarik diadakan seperti Tazkirah Merdeka oleh Ustaz Ahmad Fariz Jalaludin, selain deklamasi sajak, dendangan lagu-lagu patriotik dan cabutan bertuah kepada para hadirin. – HARAKAHDAILY 31/8/2020

- Advertisement -