Kerajaan perhalusi jika ada unsur kronisme

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Isu senarai 101 syarikat yang memperoleh projek rundingan (RT) terus akhirnya membuka pekung wajah sebenar DAP apabila Kementerian Pengangkutan diterajui pemimpin DAP, Anthony Loke ketika di zaman Pakatan Harapan (PH) didapati paling tinggi menerima kelulusan perolehan kerajaan secara RT.

Malah 101 syarikat yang menerima projek berkenaan rata-ratanya daripada kalangan bukan bumiputera.

- Advertisement -

Semua ini terungkai selepas pendedahan Menteri Kewangan, Senator Dato’ Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengeluarkan senarai projek RT ketika pentadbiran kerajaan PH membabitkan 101 projek bernilai RM6.61 bilion, dalam kenyataannya pada 26 Ogos.

Katanya, senarai itu didedahkan atas dasar menyokong urus tadbir yang baik demi ketelusan pentadbiran kerajaan sedia ada.

Menurut kenyataannya, sebanyak 20 kementerian terlibat dalam perolehan kelulusan perolehan kerajaan secara RT.

Kementerian Pengangkutan merupakan yang tertinggi dengan nilai RM4.47 bilion melibatkan empat projek, diikuti enam projek bagi Kementerian Pertahanan sebanyak RM900 juta dan selebihnya melibatkan kementerian lain.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata PAS sememangnya mengharapkan tindakan serupa sama seperti apa yang dilakukan oleh kementerian itu.

Walau bagaimanapun, katanya tindakan undang-undang berkaitan isu kronisme ini akan diperhalusi oleh kerajaan bagi menentukan kesahihannya.

Beliau mengulas lanjut, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menjalankan siasatan ke atas mantan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng atas kesalahan tersebut.

Tuan Ibrahim mengulas isu tersebut semalam ketika dihubungi Harakahdaily.

Isnin lalu, Tengku Zafrul di dalam sidang Dewan Rakyat memberitahu rekod menunjukkan Kementerian Kewangan ketika diterajui Lim Guan Eng telah meluluskan 101 projek secara rundingan terus.

Guan Eng dalam sidang media yang dibuat di Parlimen pada Selasa, bagaimanapun mengakui meluluskan projek itu dan menyifatkan ia perkara lumrah serta tidak bercanggah dengan peraturan kerajaan.

Katanya jumlah itu hanyalah mewakili empat peratus daripada keseluruhan nilai pembangunan atau 1.4 peratus berbanding keseluruhan perolehan sepanjang 22 bulan pentadbiran kerajaan sebelum ini.

Ahli Parlimen Bagan itu turut meminta Tengku Zafrul supaya mendedahkan senarai 101 projek secara rundingan terus bernilai RM6.61 bilion yang diluluskan ketika pemerintahan kerajaan PH. – HARAKAHDAILY 28/8/2020

- Advertisement -