PBAPP sokong Kedah tuntutan RM100 juta

- Advertisement -

GEORGE TOWN: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menyokong tuntutan Kedah sebanyak RM100 juta daripada Kerajaan Persekutuan untuk memulihara hutan hujan di Ulu Muda sepenuhnya secara kekal.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP Datuk Jaseni Maidinsa berkata PBAPP mengalu-alukan kesediaan Kerajaan Negeri Kedah untuk memulihara 160,000 hektar hutan hujan itu sebagai kawasan tadahan air Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER). 

“Kerajaan Persekutuan harus membayar tuntutan RM100 juta kepada Kedah berdasarkan tiga syarat utama antaranya Kedah bersetuju untuk mewartakan, mengkategorikan dan melindungi secara undang-undang hutan hujan 160,000 hektar di Ulu Muda sebagai ‘Hutan Tadahan Air’, di bawah Seksyen 10A (1) Akta Perhutanan Negara.

- Advertisement -

“Kedah bersetuju untuk memulihara dan melindungi Ulu Muda secara kekal sebagai Kawasan Tadahan Air Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan Kedah bersetuju untuk menghentikan semua konsesi pembalakan sedia ada di Ulu Muda dan menghalang Jabatan Perhutanan Kedah daripada mengeluarkan konsesi pembalakan baharu di Ulu Muda,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, semua aktiviti pembalakan perlu dihentikan serta-merta dan kerja pembalakan mesti dilarang sama sekali di Ulu Muda secara kekal. 

“Rasional utama untuk memulihara Ulu Muda adalah kerana kawasan tersebut merupakan kawasan tadahan air terbesar NCER yang menadah air mentah untuk tiga negeri iaitu Perlis, Kedah dan Pulau Pinang. 

“Kira-kira 70 peratus air mentah Perlis dan 96 peratus air mentah Kedah datangnya dari Ulu Muda manakala lebih 80 peratus air mentah yang diabstrak oleh PBAPP dari Sungai Muda, di muka sauk Lahar Tiang di Pulau Pinang, setiap hari asalnya dari Ulu Muda,” katanya.

Katanya, 4.2 juta orang yang tinggal di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang sangat bergantung kepada air mentah dari Ulu Muda. 

“Semua perniagaan dan aktiviti sosioekonomi di tiga negeri NCER ini, yang menyumbang RM150.5 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada tahun 2018, juga bergantung pada air mentah dari Ulu Muda. 

Beliau berkata kejayaan projek transformasi ekonomi NCER juga bergantung pada ketersediaan air mentah yang mencukupi dari Ulu Muda.

“Kesan pembalakan di Ulu Muda melampaui kehancuran alam sekitar. Tanpa air mentah yang mencukupi dari Ulu Muda, paip akan kering di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang. Malapetaka akan menimpa sosioekonomi, terutama pada ketika kita berjuang melawan COVID-19 dan berusaha untuk pulih dari kesan negatifnya. 

“Justeru, Kerajaan Persekutuan harus menggunakan kesempatan ini dengan memberi ganti rugi kepada Kedah dan bekerjasama dengan negeri itu bagi memastikan Kedah melindungi Ulu Muda sepenuhnya dan berkekalan untuk kepentingan NCER dan rakyatnya,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -