Tiada pindaan had tempoh jawatan PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Perikatan Nasional tidak bercadang untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh pelantikan Perdana Menteri kepada dua penggal.

- Advertisement -

Malah penarikan Rang Undang-undang Pindaan Perlembagaan mengenai had tempoh jawatan PM tidak perlu diperjelaskan kerana ahli yang menjaga suatu RUU itu boleh menarik balik atau tangguh pindaan itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Dato’ Takiyuddin Hassan berkata hak itu merujuk kepada Peraturan Mesyuarat 62, ahli yang menjaga suatu Rang Undang-Undang (RUU) boleh menarik balik RUU itu atau menangguh ke peringkat seterusnya.

Selain itu katanya, ia juga tidak menetapkan kerajaan mesti memberi penjelasan di sebalik keputusan menarik balik RUU itu.

“Tidak ada dinyatakan bahawa apabila kerajaan ingin menarik balik sesuatu RUU perlu diberikan sebab kenapa ia perlu ditarik, walaupun demikian keputusan untuk memasukkan cadangan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan diputuskan dan dibawa oleh kerajaan PH sehingga bacaan kali pertama,” katanya.

“Sebagaimana kita tahu, (RUU ini dibuat) oleh yang menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun 22 bulan (merujuk kepada Tun Dr Mahathir Mohamad), kemudian membawa pindaan untuk mengehadkan tempoh Perdana Menteri dua penggal sahaja,” katanya sebaik selesai sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Sim Tze Tzin (PKR-Bayan Baru) yang mendesak kerajaan menjelaskan keputusan penarikan balik RUU itu yang didakwa bertujuan menjaga kepentingan rakyat.- HARAKAHDAILY 27/8/2020

- Advertisement -